PENANTIAN selama empat tahun berakhir apabila temasya sukan berprestij dunia, Sukan Olimpik Paris 2024 menyingkap tirai dalam majlis perasmian yang berlangsung di sepanjang Sungai Seine, Paris, Perancis awal pagi Sabtu.
Pada majlis berlangsung atas bot itu, kontinjen negara diketuai Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin serta timbalannya Datuk Nicol David, diwakili enam atlet dan empat pegawai.
Penerjun, Bertrand Rhodict Lises dan atlet pelayaran, Nur Shazrin Mohamad Latif menampilkan diri sebagai pembawa Jalur Gemilang, turut disertai Nur Dhabitah Sabri (terjun), Khairulnizam Mohd Afendy (pelayaran), Ashley Lau (golf) dan Tan Rouxin (renang).
Busana rekaan pereka fesyen terkemuka tempatan Rizman Ruzaini, The Malaya
berwarna hijau zaitun dengan motif keemasan, menyerlahkan lagi persona gaya atlet, dengan atlet wanita memakai baju kurung songket dengan kelubung manakala atlet lelaki berbaju Melayu Teluk Belanga.
Misi emas sulung temasya Sukan Olimpik edisi 2024 bakal diterjemahkan keazaman dan keinginan 26 atlet negara untuk mencipta sejarah juga dibarakan dengan doa dan sokongan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Kontinjen Malaysia tampil ke Kota Cinta tersebut mempertaruhkan 26 atlet dalam 10 sukan - angkat berat (seorang lelaki), badminton (empat lelaki, empat wanita), golf (seorang lelaki, seorang wanita), dan lumba basikal (dua lelaki, dua wanita).
Pelayaran pula menampilkan seorang lelaki, seorang wanita, memanah (tiga wanita), menembak (seorang lelaki), olahraga (seorang lelaki), terjun (seorang lelaki, seorang wanita) dan renang (seorang lelaki, seorang wanita).