TEBING BARAT - Pihak berkuasa Palestin (PA) memaklumkan, seorang pemimpin Hamas di Tebing Barat meninggal dunia dalam tahanan Israel.
Mustafa Muhammad Abu Ara, 63, meninggal dunia selepas dipindahkan dari penjara di selatan Israel ke hospital.
Berita kematian Mustafa dimaklumkan menerusi satu kenyataan bersama Badan Hal Ehwal Tahanan PA dan badan pemerhati, Kelab Tahanan Palestin.
Sementara itu, Hamas dalam kenyataan menzahirkan dukacita terhadap pemergian pemimpinnya itu.
Pergerakan Islam itu menganggap pendudukan Israel bertanggungjawab kerana mengabaikan hak sesorang manusia untuk mendapatkan rawatan perubatan.
Badan pemerhati menyebut, Mustafa ditangkap pada Oktober tahun lalu, ketika beliau mengalami masalah kesihatan yang serius.
Kata badan pemerhati itu, semasa dalam tahanan, Mustafa mengalami penyiksaan dan dibiarkan kelaparan.
Sebelum ini, pihak berkuasa Palestin menuduh Israel menjalankan ‘perang balas dendam’ yang zalim terhadap tahanan Palestin sejak permulaan perang di Gaza.
Namun, Israel menolak sekeras-kerasnya tuduhan mengenai penyalahgunaan sistematik tahanan dan mendakwa kononnya bertindak mengikut undang-undang antarabangsa.
Kematian Mustafa juga mengudang protes dalam kalangan penduduk di Gaza yang menganggap ia usaha Israel untuk menghapuskan pemimpin-pemimpin Hamas.
Iisrael sebelum ini berikrar untuk memburu pemimpin Hamas dan teruskan perang yang bermula sejak 7 Oktober lepas sehingga kumpulan itu dilumpuhkan dan kejayaan berpihak kepada mereka. - Awani