SEREMBAN - Seorang ibu tunggal di Rembau yang terlantar lumpuh akibat diserang strok awal bulan ini layak memohon faedah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di bawah Skim Keilatan.
Pengarah PERKESO Negeri Sembilan, Wan Kefli Hamid berkata, Azilah Abd Hamid, 48, merupakan Orang Berinsurans (OB) yang pernah mencarum dengan PERKESO dan Skuad PERKESO Prihatin Seremban telah menyantuninya baru-baru ini.
"Semakan PERKESO mendapati, Azilah merupakan OB yang pernah mencarum dengan PERKESO bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) sejak 1 Julai 1994 sehingga April 2019.
"Hasil ujian diagnosis juga mendapati Azilah disahkan menghidapi Hypertensive Pontine Bleed dan Aspiration Pneumonia,” katanya.
Ujarnya, Azilah masih boleh berkomunikasi dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Seremban dan Hospital Rembau.
"PERKESO akan membantunya menerusi Program Return To Work bagi tujuan penilaian rehabilitasi serta rawatan pemulihan.
"Kami juga dalam proses membekalkan ‘ripple mattress’ bagi membantu proses pemulihan selaras dengan prinsip ‘no one is left behind yang dibawa PERKESO,” katanya.
Katanya, PERKESO sentiasa komited dalam menjalankan tanggungjawab sosialnya dengan memberikan sokongan kepada mereka yang memerlukan selaras dengan misi dalam menyediakan perlindungan keselamatan sosial kepada para pekerja dan tanggungannya secara holistik di negara ini.
Sinar Harian pada Jumaat melaporkan, dua beradik Muhammad Hasif Haikal Abd Manaf, 16, dan Nur Imanja Hanan,14, berharap ibunya, Azilah segera sembuh sekali gus dapat meneruskan rutin harian seperti sebelum ini.
Azilah disahkan diserang strok ketika menjaga bapanya di Hospital Rembau pada 2 Julai lalu dan keadaan itu menyebabkan dia tiga beranak terpaksa tinggal di rumah keluarganya di Chengkau,Rembau.