Sawa batik jinak tumpuan pengunjung di reruai JBPM

Iklan
Ular sawa albino menjadi tarikan pengunjung untuk merakamkan kenangan di Karnival Rakyat Karangkraf di sini pada Sabtu. Foto Sinar Harian-Mohd Halim Abdul Wahid

SHAH ALAM - Empat jenis ular termasuk berbisa di reruai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) antara yang mencuri tumpuan pengunjung Karnival Rakyat Karangkraf, di sini.

Pegawai bomba, Muhd Yazid Taqiuddin Mostapha berkata, pengunjung diberi pendedahan mengenai jenis ular berbisa dan tidak berbisa yang kebiasaannya dijumpai di negara ini.

Iklan
Iklan

Reptilia berbisa berkenaan adalah Naja Kaouthia atau dikenali sebagai ular senduk dan Naja Sumatrana yang turut dikenali sebagai ular sembur atau hitam.

Ular yang tidak berbisa turut dipamerkan adalah chrysopelea paradisi atau ular pokok dan Malayopython reticulatus (ular sawa batik).

Iklan

"Pengunjung juga boleh bergambar dengan ular sawa batik yang sangat jinak secara percuma di reruai kami," katanya pada Sabtu.

Muhd Yazid

Selain itu, Muhd Yazid berkata, pengunjung turut dihidangkan dengan barangan kelengkapan anggota bomba seperti pemakaian sut peralatan perlindungan diri (PPE) bagi setiap unit, pakaian operasi dan peralatan.

Iklan

"Pengunjung juga berpeluang untuk mendekati jentera penyelamat, Compact Fire Rescue Tender (CFRT) yang turut tersedia," katanya.

Karnival Rakyat Karangkraf berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat.

Orang ramai tidak melepaskan peluang melihat ular senduk dengan lebih dekat. Foto Sinar Harian-Mohd Halim Abdul Wahid

Berkonsepkan nostalgia, pelbagai aktiviti dan program yang boleh disertai pengunjung antaranya Sinarplus MakanFest, sukan rakyat, rumah hantu, jualan buku Karangkraf, Fiesta Kucing Tomkraf, jualan Rahmah dan sebagainya.

Selain itu, e-sijil kehadiran dan penyertaan disediakan untuk pelajar sekolah.