Cinta monyet berakhir ke jinjang pelamin

Iklan
Mohd Azman dan Wan Noimah memenangi tempat kedua dalam pertandingan Couple 'Bikin Romantis' sempena Karnival Rakyat di Kompleks Karangkraf, pada Sabtu.

SHAH ALAM - Biasanya perasaan cinta semasa di zaman kanak-kanak atau remaja hanyalah 'cinta monyet' dan kebanyakannya akan terhenti setelah tamat persekolahan.

Namun pasangan sejoli, Mohd Azman Awang, 51, dan Wan Noimah Wan Sulung, 50, bertuah kerana cinta monyet mereka berakhir hingga ke jinjang pelamin.

Iklan
Iklan

Perasaan suka antara satu sama lain timbul sejak mereka berada di darjah enam dan akhirnya disatukan sebagai suami isteri selepas 10 tahun.

Menurut Wan Noimah, suaminya pernah meluahkan rasa cinta dan sayang ketika mereka di sekolah rendah.

Iklan

"Ditakdirkan ALLAH mungkin sudah jodoh kami dipertemukan semula pada tahun 1996. Saya minta nombor telefon dan kami berkawan setahun sebelum bertunang serta berkahwin," katanya kepada Sinar Harian selepas mendapat tempat kedua dalam pertandingan Couple 'Bikin Romantis' sempena Karnival Rakyat di Kompleks Karangkraf di sini pada Sabtu.

Para peserta yang menyertai pertandingan Couple 'Bikin Romantis' sempena Karnival Rakyat di Kompleks Karangkraf di sini hari ini.

Tambahnya, sepanjang tempoh sembilan tahun perpisahan itu dia tetap setia menunggu suaminya.

Iklan

Ditanya mengenai rahsia kebahagiaan rumahtangga, Wan Noimah memberitahu, suami isteri harus bersabar dalam menghadapi ujian rumah tangga.

Katanya, bergaduh dan bermasam muka itu asam garam berumahtangga namun jangan dibiarkan berpanjangan.

"Kalau ada perselisihan faham dan krisis sama ada soal peribadi, tempat kerja atau sebagainya segera cari jalan penyelesaian, suami isteri masing- masing kena main peranan iaitu jika seorang merajuk seorang lagi perlu memujuk.

"Selain itu, perkara yang paling penting adalah perlu ada kefahaman agama. Bila kita pegang dan ikut cara Islam Insya-ALLAH rumahtangga yang dibina akan mendapat berkat," ujarnya.

Karnival Rakyat Karangkraf berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat.

Berkonsepkan nostalgia, pelbagai aktiviti dan program yang boleh disertai pengunjung antaranya Sinarplus MakanFest, sukan rakyat, rumah hantu, jualan buku Karangkraf, Fiesta Kucing Tomkraf, jualan Rahmah dan sebagainya.