SHAH ALAM - Dua pelajar tampil unik dengan menggayakan anyaman tempok masyarakat Orang Asli ketika hadir ke Karnival Rakyat Karangkraf di sini pada Sabtu.
Pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Serendah, Shamira Sham berkata, pemakaian tempok itu adalah sebagai penyeri pasukan sekolahnya dalam pertandingan Simfoni Tradisional Malaysia Madani sempena karnival yang sedang berlangsung.
"Saya dan kawan, Angelia Anuar ini memang daripada masyarakat Orang Asli. Kami bangga dapat memakainya hari ini. Kami lihat kami sahaja yang pakai begini.
"Tempok ini merupakan perhiasan diri yang telah digunakan masyarakat kami sejak turun-temurun lagi. Tempok dipakai semasa menyambut tetamu atau majlis-majlis tertentu kami," katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Karnival Rakyat Karangkraf 2024 mengembalikan nostalgia zaman dahulu menerusi tema tradisional dan kerakyatan membabitkan dua komponen utama iaitu sukan rakyat dan pentas rakyat.
Program dianjurkan sempena sambutan ulang tahun ke-18 Sinar Harian itu kini sedang berlangsung dari jam 9 pagi hingga 7 malam sehingga Ahad ini.
Berkonsepkan nostalgia, pelbagai aktiviti dan program yang boleh disertai pengunjung antaranya Sinarplus MakanFest, sukan rakyat, rumah hantu, jualan buku Karangkraf, Fiesta Kucing Tomkraf, jualan Rahmah dan sebagainya.
Selain itu, e-sijil kehadiran dan penyertaan disediakan untuk pelajar sekolah.