MERSING - UMNO bersedia meneliti sebarang cadangan bagi mengubah peraturan sistem pemilihan parti melibatkan jawatan tertinggi.
Bagaimanapun Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan mengubah peraturan sistem pemilihan bukan keutamaan parti ketika ini dan hanya akan dilakukan jika terdapat keperluan atau pun sudah tiba masanya.
"Namun kita bersedia untuk membuka sebarang cadangan bagi menentukan peraturan baharu dalam sistem pemilihan parti apabila tiba masanya nanti.
"Sebagaimana yang kita ketahui, pemilihan UMNO ini hanya akan dibuat pada 2026.
"Jadi ada tempoh dua tahun daripada sekarang untuk meminda peraturan (pemilihan) sedia ada, sama ada ia perlu di bawa ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Khas jika membabitkan pindaan perlembagaan parti.
"Jika sekadar membabitkan peraturan, ia akan dibawa kepada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Mersing, di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, pada Sabtu.
Hadir sama, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ketua UMNO Bahagian Mersing, Mohd Youzaimi Yusof.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid menasihatkan ahli parti tidak terlalu menumpukan perkara berkaitan cadangan sistem baharu pemilihan parti itu.
"Kita jangan fikirkan tentang soal pemilihan parti kerana ia (pemilihan) tidak akan diadakan pada tahun ini atau tahun hadapan.
"Saya harap semua kepimpinan parti di peringkat nasional, negeri dan pelbagai peringkat supaya kita tumpukan kepada kerja-kerja memperkuatkan parti, yang jadi keutamaan ketika ini," katanya.
Pada Jumaat, sebuah portal dilaporkan mendakwa UMNO bercadang untuk kembali kepada sistem lama pemilihan parti membabitkan jawatan tertinggi di peringkat pusat, selepas lebih sedekad sistem itu diguna pakai.
UMNO didakwa mahu beralih kepada sistem lama pengundian membabitka sistem perwakilan berbanding kaedah pengundian akar umbi ketika ini, yang memberikan peluang lebih ramai ahli parti di seluruh negara untuk memilih kepimpinan tertinggi.
Cadangan itu dilaporkan antara usul yang hangat dibincangkan pada Mesyuarat Bahagian parti itu ketika ini menjelang Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang akan bermula 20 Ogos ini.
Usul itu dijangka dibahaskan pada PAU kali ini dan akan diputuskan oleh MKT parti.
Jika ia diluluskan, setiap bahagian UMNO akan menghantar 15 perwakilan di samping enam perwakilan dari setiap sayap parti untuk memilih kepimpinan tertinggi.