Tujuh premis perniagaan, stor selipar tiruan diserbu

Iklan
Tujuh premis perniagaan dan stor penyimpanan selipar tiruan di Lorong Haji Taib, Chow Kit, di sini diserbu.

KUALA LUMPUR - Tujuh premis perniagaan dan stor penyimpanan selipar tiruan di Lorong Haji Taib, Chow Kit, di sini diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur pada Khamis.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Kuala Lumpur, Nurul Syarina Md Anuar, berkata, serbuan bersama wakil cap dagangan itu hasil risikan selama dua minggu.

Iklan
Iklan

"Kita menyita 2,070 pasang selipar tiruan berjenama dengan nilai sitaan dianggarkan RM23,000 kerana disyaki dipakaikan cap dagangan secara salah mengikut Akta Cap Dagangan 2019," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, stok selipar tiruan ini dipercayai diperolehi dari negara luar dan disimpan di stor sebelum diedarkan untuk jualan.

Iklan

"Dalam serbuan itu, pemilik perniagaan iaitu seorang lelaki tempatan berusia 40-an turut ditahan untuk siasatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, pemilik perniagaan disyaki menjalankan perniagaan borong secara dalam talian dan menerima tempahan dari peniaga di sekitar Lembah Klang.

Iklan

Tambah beliau, kesemua premis ini sudah beroperasi lebih kurang tiga tahun dan serbuan pada kali ini adalah tindakan kes kali kedua bagi premis serta pemilik yang sama.

Stok selipar tiruan ini dipercayai diperolehi dari negara luar dan disimpan di stor sebelum diedarkan untuk jualan.

"Siasatan kes ini turut dijalankan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) kerana membabitkan kesalahan berulang," ujarnya.

Dalam pada itu, katanya untuk tempoh sepanjang tahun ini, sebanyak 55 kes berkait harta intelek diambil tindakan oleh KPDN Kuala Lumpur mengikut Akta Cap Dagangan 2019, Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Hak Cipta 1987.

"Kesemua 55 kes itu membabitkan sitaan 46,900 pelbagai barangan dengan nilai rampasan RM2.06 juta.

"Manakala jumlah tangkapan di bawah Ops Jeriji 5.0 bagi tahun 2024 berkait kesalahan harta intelek sehingga kini adalah seramai lapan orang,” katanya.

Mengulas lanjut, Nurul Syarina menasihatkan pengguna tidak menyokong pembelian serta penjualan barang tiruan.

"Peniaga yang ingkar bakal menerima hukuman yang berat sepertimana yang ditetapkan oleh undang-undang,” katanya.