KUALA TERENGGANU - Seorang anak bukan sahaja sanggup mengugut bapanya kerana bengang kehendaknya untuk mendapatkan wang tidak dilayan malah turut memukul lelaki itu di Kampung Gong Tok Nasek di sini, Isnin lalu.
Tidak cukup dengan itu, dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi, suspek, 21, juga tergamak menjual kesemua barang yang ada di dalam rumah mangsa berusia 58 tahun itu.
Menurut sumber, kejadian antara dua beranak itu hanya dimaklumkan kepada abang suspek berusia 25 tahun oleh sepupu mereka sebelum bergegas pulang ke rumah.
"Abang suspek yang ketika itu berada di tempat kerja di Pasir Puteh, Kelantan diberitahu adik kandungnya sedang mengamuk dan mengugut ayah mereka kerana tidak memberikan wang diminta.
"Suspek turut memukul mangsa serta menjual kesemua barang yang ada di dalam rumah. Terkejut mendengarnya, abang suspek terus balik ke rumah dan sampai kira-kira jam 6.30 petang hari sama,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sumber berkata, setibanya di rumah, abang suspek mendapati mangsa sedang menahan kesakitan sebelum diberitahu sakit di bahagian bahu kiri akibat dipukul adiknya.
"Bimbang keselamatan ahli keluarganya pada masa akan datang selain risaukan kejadian sama berulang kembali, abang suspek mengambil keputusan membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.