SUNGAI PETANI - Pas meminta Pengerusi DAP, Lim Guan Eng tidak berdolak-dalik, sebaliknya mengakui kesilapan dan memohon maaf atas tindakan mempertahankan promosi syarikat arak di sekolah seperti tular sebelum ini.
Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor meminta agar Ahli Parlimen Bagan itu tidak menegakkan benang yang basah kerana kesalahan tersebut sudah nyata.
"Sudah berlaku kesilapan, minta maaf, jangan ulang lagi...habis cerita! Janganlah 'backing' pula, 'backing' melilau rata.
"Sekali bohong, terus berbohong untuk bohong yang lepas... letih," katanya Menteri Besar Kedah itu ketika merasmikan Program Gotong Royong Perdana dan Mega Perangi Aedes di Padang Awam Taman Ria di sini pada Sabtu.
Muhammad Sanusi berkata demikian ketika mengulas kenyataan Guan Eng yang meminta agar Kementerian Pendidikan mengenakan pengecualian larangan ke atas syarikat arak yang menyumbang dana kepada sekolah Cina di seluruh negara.
Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, kenyataan Guan Eng itu menunjukkan DAP menyedari peranan Pas yang menitikberatkan soal tuntutan halal haram khususnya dalam kehidupan masyarakat.
"Benda tak elok, tak elok untuk semua orang, jadi tak payahlah bawa masuk sekolah," katanya.