KULIM - Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengarahkan projek kuari di lot PT 686 kompartmen 28 di Gunung Bongsu di sini yang didakwa mengancam keselamatan penduduk dihentikan.
Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pihaknya memberi arahan menghentikan kerja-kerja pembukaan tapak bagi tujuan terbabit selepas kajian laporan impak alam sekitar (EIA) pada 2017 tamat tempoh pada 2019.
Katanya, JAS sentiasa melakukan pemantauan berkala di lokasi terbabit termasuk menjalankan pemantauan sekali lagi pada Jumaat bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melihat situasi sebenar di lot berkenaan.
"Bagaimanapun pemantauan dan pemeriksaan pada Jumaat mendapati tiada sebarang kerja-kerja dijalankan dan tiada jentera dijumpai di kawasan yang diadukan," katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.
Menurutnya, penggerak projek perlu mengemukakan laporan EIA baru yang lebih komprehensif dan mengambil kira pandangan orang awam sekiranya masih berminat untuk menjalankan sebarang aktiviti di tapak.
"Sekiranya terdapat lain-lain pencerobohan atau aktiviti yang dicurigai, orang ramai boleh berhubung dengan agensi-agensi penguatkuasaan berkaitan dan mengemukakan bukti seperi gambar dan video terkini.