Kejohanan BDB Jitra Duathlon 2024 dapat sambutan hangat

Iklan
Para peserta bergambar kenangan setelah tamat Kejohanan BDB Jitra Duathlon 2024 bagi Siri Kedua BDB Challange 2024 di Perbandaran Darulaman pada Sabtu.

KUBANG PASU - Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB) buat julung kalinya menganjurkan Kejohanan BDB Jitra Duathlon 2024 bagi Siri Kedua BDB Challange 2024 di Perbandaran Darulaman pada Sabtu.

Ketua Pegawai Operasi BDB, Mohd Sobri Hussien berkata, kejohanan terbabit menerima sambutan hangat dan menggalakkan daripada penggemar sukan lasak dari seluruh negara.

Iklan
Iklan

Katanya, seramai 300 orang peserta telah mengambil bahagian dalam acara yang sememangnya mencabar kemampuan dan kekuatan mental serta fizikal setiap peserta.

"Para peserta di kejohanan ini dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Road Bike – Individual (Lelaki & Wanita) & Relay, Mountain Bike – Individual (Lelaki & Wanita) & Relay dan Folding Bike – Individual ((Lelaki & Wanita) & Relay," katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.

Iklan

Menurutnya, penganjuran BDB Jitra Duathlon 2024 ini berlangsung di Perbandaran Bandar Darulaman yang merupakan lokasi riadah yang dibangunkan oleh Kumpulan BDB sejak 40 tahun yang lalu.

"Dalam Perbandaran Bandar Darulaman juga mempunyai satu lokasi aktiviti sukan dan riadah yang sangat popular oleh penduduk setempat yang dikenali sebagai Darulaman Park.

Iklan

"Menerusi Kejohanan BDB Jitra Duathlon ini juga, kami berharap dapat mempromosikan Darulaman Park sebagai salah satu lokasi pilihan bagi sebarang penganjuran ‘Sport Tourism’ terutamanya di daerah Kubang Pasu dan dalam masa yang sama menggalakkan industri pelancongan negeri Kedah,”katanya.

Menurutnya, pelepasan para peserta disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), Datuk Isahak Murat diiringi Pengerusi BDB, Sr Haji Che Had Dhali dan Ketua Pegawai Operasi BDB, Mohd Sobri Hussein yang mewakili Pengarah Eksekutif Kumpulan BDB, Yang Mulia Raja Shahreen Raja Othman.

Mohd Sobri berkata, BDB Jitra Duathlon 2024 merupakan acara separa Triathlon di mana ia melibatkan acara disiplin larian dan berbasikal yang perlu ditempuhi oleh para peserta yang berlangsung sepenuhnya di Perbandaran Bandar Darulaman.

Pelepasan peserta di Perbandaran Darulaman.

"Jarak yang perlu diharungi dalam kejohanan BDB Jitra Duathlon 2024 adalah sejauh 40 kilometer (km) di mana peserta diwajibkan berlari sejauh 5 km dan kemudiannya berbasikal sejauh 30 km seterusnya diakhiri dengan larian 5 km sehingga ke garisan penamat," ujarnya.

Jelasnya, pemenang bagi kategori Road Bike – Individual lelaki telah berjaya dirangkul oleh Muhammad Izzat Fahmi Ahmad Tajudin manakala bagi kategori Road Bike – Individual wanita pula dimenangi oleh Tahira Najmunisaa.

"Bagi kategori Relay dimenangi pasukan Elves Malaysia yang mana kesemua mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM500 dan trofi.

"Bagi kategori Mountain Bike – Individual (Lelaki & Wanita) & Relay pula dimenangi oleh Indra Abu Nawas, Naimah Yunus, dan pasukan Absolute Race yang mana kesemua mereka memenangi hadiah wang tunai RM500 dan trofi," katanya.

Menurut Mohd Sobri, untuk kategori Folding Bike – Individual (Lelaki & Wanita) & Relay pula menyaksikan

Sufiyan Abdul Samad, Azrieynaiena dan pasukan Mahsuri Folding merangkul kejuaraan. Masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM500 dan trofi.

Sebelum ini, Kejohanan BDB Langkawi Climb menjadi acara yang dianjurkan bagi siri pertama BDB Challenge 2024 yang diadakan di Darulaman Sanctuary, Lubuk Semilang, Kedah dan telah menarik penyertaan seramai 400 orang.