SHAH ALAM - Unit anjing pengesan K9 dari Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA di sini berjaya mempamerkan aksi memukau ketika menangkap penjenayah dan mengesan dadah yang dimasukkan ke dalam kotak serta bungkusan.
Pengunjung yang membanjiri hari kedua Karnival Rakyat Karangkraf 2024 tidak berganjak menyaksikan enam anjing itu bertindak tangkas menangkap penyeludup dan penjenayah.
Lebih menarik apabila anjing-anjing tersebut memahami arahan yang dibuat dalam bahasa Melayu.
Penyelia Unit K9 IPD KLIA, Sarjan Vivien Norman Francis berkata, antara arahan yang diajar kepada haiwan terbabit ialah duduk, baring, diri dan henti.
Paling menarik katanya, biarpun bertindak melawan penjenayah dalam situasi sebenar, anjing K9 ini terlatih mematuhi arahan pemegangnya.
Vivien berkata, kesemua anjing yang kini berusia antara enam ke tujuh tahun dilatih untuk menerima arahan dalam lingkungan di usia dua tahun.
Susulan itu katanya, tidak pelik jika setiap kali demonstrasi dibuat, pastinya akan memukau pengunjung yang hadir.
"Hari ini, kita bawa enam anjing bahagian Serbaguna baka 'German Shepherd' dan baka 'labrador', yang mana ia menunjukkan aksi pencegahan jenayah serta pemeriksaan penyeludupan seperti mengesan dadah yang telah dipaketkan.
"Selain demonstrasi mereka turut membantu PDRM antaranya ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah runtuh di Batang Kali, pada tahun 2022 dan 2023 lalu," katanya yang hadir bersama 12 anggota dari Ibupejabat Polis Daerah (IPD) KLIA.
Sementara itu, Koperal Muhammad Syukur Mohd Noor berkata, seramai 12 anggota dari IPD Klang Utara turut memeriahkan pertunjukan menangkap penjenayah yang bersenjatakan parang.
Menurutnya, demonstasi anggota dari Polis DiRaja Malaysia (PDRM) ini menunjukkan penggunaan T-Baton bagi mempertahankan diri.
Selain itu katanya, mereka menunjukkan teknik menangkap penjenayah yang menggunakan senjata tajam.
"Demonstrasi ini memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai bahayanya melalui jalan kurang tumpuan ramai.
"Secara tidak langsung, mengajar orang ramai supaya sentiasa peka dengan keadaan sekeliling," katanya.
Karnival Rakyat Karangkraf 2024 selama tiga hari berakhir Ahad, diadakan bersempena memperingati ulang tahun ke-18 Sinar Harian.
Karnival ini diadakan bagi meraikan keunikan warisan budaya Malaysia dan memberikan penghormatan kepada pembaca yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum, agama dan keturunan.
Bertemakan tradisional dan kerakyatan, karnival ini mengetengahkan dua komponen utama iaitu Sukan Rakyat dan Pentas Rakyat.