KUANTAN - Permintaan tenaga kerja profesional mahir semakin meningkat, terutama dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, dan Pendidikan Pahang, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak berkata, atas sebab itu kerajaan Pahang dan Persekutuan sentiasa berusaha membangunkan modal insan berkemahiran tinggi untuk memenuhi permintaan pelabur dan meningkatkan produktiviti negara.
Jelasnya, usaha ini dilakukan melalui kerjasama antara kerajaan, agensi, industri, dan akademia.
"Pahang adalah sebuah negeri yang penting dari segi ekonomi dengan aktiviti utama dalam sektor perkhidmatan, pembuatan, dan pertanian.
"Oleh itu, pendidikan STEM dan TVET memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan melengkapkan individu dengan kemahiran praktikal untuk tenaga kerja masa depan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup Yes! Rock The School Edisi Mega Pahang di Pusat Sukan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Gambang, di sini, pada Sabtu.
Turut hadir, Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan Malaysia, Datuk Abdul Muie Ngah; Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah, Talent Corporation Malaysia Berhad, Mohd Khuzzan Abu Bakar; Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Pembelajaran), Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Ahmad Zamri Md Isa; dan Pengarah Pusat Kerjaya UMPSA, Profesor Madya Dr Izwan Ismail.
Seramai 600 pelajar sekolah dari pelbagai daerah termasuk Kuantan, Temerloh, Maran dan Pekan mengikut program yang mendedahkan kemahiran asas untuk kerjaya masa depan mereka dan laluan kerjaya.
Program ini juga menekankan kepentingan kemahiran STEM dan TVET yang penting untuk industri semasa dan masa depan kepada bakat muda ini dan hala tuju selepas mereka tamat sekolah.
Mohd Soffi menjelaskan penawaran pekerjaan dalam bidang STEM dan TVET mampu merancakkan lagi aktiviti ekonomi di Pahang, sekali gus meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk Pahang secara keseluruhan.
"Ini bukan sahaja untuk pembangunan sosio-ekonomi negara, tetapi demi membantu anak-anak Pahang untuk terus maju dan berjaya suapaya mereka dapat mempertingkatkan taraf hidup rakyat Pahang dan Malaysia secara keseluruhannya," katanya.
Mohd Soffi menambah, selain pendidikan STEM dan TVET juga dapat meningkatkan kualiti pemikiran masyarakatdari segi pengetahuan, kemahiran dan minda yang diperlukan untuk kemajuan teknologi serta industri.
Menurutnya, ini penting untuk menghadapi cabaran global seperti Revolusi Industri 4.0 dan perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI).
"Saya pasti teknologi AI ini telah memberikan pengaruh yang sangat kuat dalam kehidupan generasi muda.
"Jadi, saya ingin mengingatkan semua yang hadir hari ini agar menggunakan teknologi AI dengan bijak dan tidak menyalahgunakannya sehingga menimbulkan kesan negatif terhadap kesihatan serta akhlak anda," ujarnya.