Peraga kebaya songket tradisional berusia 50 tahun

Iklan
Kanak-kanak yang menyertai pada pertandingan Busana Tradisional Cilik sempena Karnival Rakyat Karangkraf 2024 di Kumpulan Karangkraf, pada Sabtu.

SHAH ALAM - Baju kebaya songket tradisional berusia 50 tahun yang diwarisi daripada ibu bukan sahaja meninggalkan nostalgia buat Noor Hasanna Shah Nawaz, 40, malah dimanfaatkan untuk anaknya menyertai pertandingan busana tradisional.

Menurut Noor Hasanna, baju tradisional itu kelihatan sangat klasik kerana kain songket yang digunakan adalah hasil tenunan tradisional masyarakat Melayu asli dan sangat bernilai.

Iklan
Iklan

"Itu (baju kebaya) merupakan peninggalan arwah emak saya dan ia sangat bermakna kerana baju itu merupakan busana persandingan mak pada zaman 70-an.

Noor Hasanna

"Sekarang sudah lebih 50 tahun dan kualiti masih baik. Saya simpan untuk dijadikan kenangan dan dalam masa sama saya boleh memanfaatkannya untuk diperagakan dalam pertandingan busana.

Iklan

"Saya ada anak perempuan, dia minat untuk sertai pertandingan sebegini jadi saya fikir tidak salah kita mengetengahkan busana tradisional ini. Lagipun sekarang susah mahu dapat yang asli," katanya ketika ditemui pada pertandingan Busana Tradisional Cilik sempena Karnival Rakyat Karangkraf 2024 di Kumpulan Karangkraf di sini pada Sabtu.

Sementara itu, ibu kepada juara pertandingan tersebut, Roziana Abd Hamid, 37, memberitahu, dia mengambil masa lebih sebulan untuk melakukan persiapan termasuk memikirkan idea pemakaian bersesuaian dengan tema.

Iklan

Menurutnya, dia tiada masalah dari segi pakaian, namun perlu melakukan penambahan untuk perhiasan bagi melengkapkan busana yang bertemakan Puteri Perak itu.

Baju kebaya songket tradisional yang diperagakan dalam pertandingan Busana Tradisional Cilik sempena Karnival Rakyat Karangkraf 2024 di Kumpulan Karangkraf di sini pada Sabtu.

"Saya berasal dari Perak, jadi saya rasa budaya negeri itu perlu diketengahkan. Lebih sebulan juga saya buat persediaan, kawan-kawan pun ada bagi idea dan alhamdulillah ia membuahkan hasil menjadi juara hari ini," jelasnya.

Ditanya keperluan ibu bapa menyokong anak dalam bidang yang diminati mereka, Roziana berkata, dia sentiasa memberi semangat dan tidak menghalang anaknya untuk melakukan perkara yang diminati.

"Macam Nur Aira Safiya Mohd Azmir, dia memang menunjukkan minat dalam bidang peragaan sejak kecil. Jadi saya hantar dia ke kelas 'catwalk' untuk mendalami ilmu dalam bidang berkenaan.

"Saya ikut sahaja minat anak-anak, itu yang terbaik," jelasnya.