PERENANG muda negara, Khiew Hoe Yean terlepas peluang untuk memperbaharui rekod kebangsaan bagi acara 400 meter (m) gaya bebas di Sukan Olimpik Paris 2024 hari ini.
Berenang di saringan kedua di Paris La Defense Arena, Hoe Yean yang membuat penampilan pertama dalam Olimpik, berusaha memberi saingan sengit tetapi akhirnya hanya mampu menduduki tempat keempat dengan catatan masa 3 minit dan 51.66 saat (s).
Kregor Zirk dari Estonia mendominasi saringan itu dengan 3:49.59s, manakala Eduardo Cisternas dari Chile mencatat 3:51.29s untuk tempat kedua dan Ilya Sibirtsev dari Uzbekistan di tempat ketiga dengan 3:51.52s.
Di sebalik usaha yang membanggakan itu, catatan masa Hoe Yean gagal menempatkan beliau dalam kalangan lapan perenang terbaik untuk mara ke final yang dijadual esok.
Rekod kebangsaan 3:48.36s milik Hoe Yean yang diciptanya di Australia pada April lepas.
Tumpuan kini kepada perenang wanita negara Rouxin Tan yang turut membuat penampilan pertama dalam Olimpik bagi acara 100m kuak dada esok.
Hoe Yean dan Rouxin mendapat tempat ke Paris 2024 menerusi ‘wildcard’. - Bernama