Olimpik Paris: Penembak China rangkul pingat emas pertama

Iklan
Huang Yuting dan Sheng Lihao di podium selepas memenangi emas acara 10m air rifle berpasukan campuran Paris 2024 di Pusat Menembak Kebangsaan Perancis, Chateauroux. Foto: AFP

[DIKEMAS KINI] PENEMBAK China, Huang Yuting dan Sheng Lihao berada dalam kelas tersendiri apabila membutirkan pingat emas pertama dari pentas Sukan Olimpik Paris 2024 pada Sabtu.

Huang Yuting dan Sheng Lihao tampil cemerlang apabila menyingkirkan cabaran pasangan Korea Selatan, Keum Ji-hyeon dan Park Ha-jun dalam final acara 10m air rifle berpasukan campuran.

Iklan
Iklan

Gandingan China itu menjinakkan lawan tetangga Asia Timur tersebut dengan kemenangan 16-12 di pusat menembak kebangsaan Perancis, Chateauroux.

Sebagai rekod, Sheng Lihao meraih pingat perak dalam acara individu di Tokyo 2020 manakala bagi Huang Yuting ini penampilan sulung di pentas Olimpik.

Iklan

"Peluang beraksi di pentas Sukan Olimpik merupakan satu kesempatan yang jarang diperoleh dan hadir dalam hidup seseorang atlet.

"Saya tekad bergerak ke hadapan merebut peluang ini, konsisten, dan tidak berputus asa sepanjang proses itu, tanpa meninggalkan sebarang penyesalan untuk diri saya sendiri,”kata Huang Yuting selepas menyambar slot ke Paris 2024.

Iklan

Bagi Sheng Lihao, Paris 2024 merupakan penyertaan Sukan Olimpik keduanya, setelah keluar sebagai pemenang pingat Olimpik termuda dengan perak dalam acara 10m air rifle lelaki di Tokyo 2020 pada usia 16 tahun dan 233 hari.

Penembak Kazakhstan Alexandra Le dan Islam Satpayev pula memenangi pingat meraih gangsa selepas menewaskan gandingan Jerman, Anna Janssen dan Maximilian Ulbrich.