PEMBUKAAN Sukan Olimpik Paris 2024 melakar sejarah apabila tiada penerbangan di ruang udara negara itu selama enam jam.
Ketiadaan penerbangan itu direkodkan dalam video menggunakan teknik timelapse yang turut dikongsikan di media sosial, Flightradar24 pada Sabtu.
Video berkenaan ditonton 300,000 kali oleh pengguna media sosial dengan hampir 12,000 tanda suka.
Berdasarkan tinjauan di ruangan komen, pengguna media sosial turut merasakan tindakan berkenaan perlu dipuji untuk keselamatan setiap atlet yang mewakili negara masing-masing.
Menurut Kevin_yt2, keselamatan merupakan isu serius apabila mereka perlu menutup ruang udara salah satu bandar terbesar dan terpenting di dunia.
"Ia turut mengakibatkan masalah kewangan dengan penutupan tersebut,” katanya.
Bagi pengguna lain, penghargaan terima kasih perlu diberikan kepada semua anak-anak kapal dan pekerja yang berada di lapangan bagi memastikan setiap kapal terbang berlepas atau mendarat dengan selamat.
"Semua pekerja di menara yang akan memberitahu juruterbang untuk mendarat di kawasan dan tempat yang betul,” kata Inamostert.
Selain itu, seramai enam atlet dan empat pegawai mewakili kontinjen Malaysia pada upacara pembukaan Sukan Olimpik Paris 2024 pada Sabtu.
Ketua kontinjen negara, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, barisan atlet negara didahului oleh dua pembawa Jalur Gemilang iaitu penerjun Bertrand Rhodict Lises dan atlet pelayaran Nur Shazrin Mohamad Latif.
Turut menyertai upacara yang akan diadakan di Sungai Seine secara besar-besaran adalah Nur Dhabitah Sabri (terjun), Khairulnizam Mohd Afendy (pelayaran), Ashley Lau (golf) dan Tan Rouxin (renang).
Kontinjen Malaysia juga disertai oleh Hamidin, timbalannya Datuk Nicol David, ketua perubatan kontinjen, Dr Jasmiza Khuzairi Jasme dan Pegawai Keselamatan Majlis Olimpik Malaysia, Ang Li Pei.