SHAH ALAM - Selepas empat tahun, Grup Buku Karangkraf (GBK) menerusi jenama Buku Prima menerbitkan semula novel genre thriller dengan menampilkan dua buku terbaharu iaitu Sindiket II, karya Arman Jazee dan Pemutus Nyawa yang ditulis oleh Arifful Baqi.
Editor Novel GBK, Shahida Md Khasim berkata, novel seram dan thriller sentiasa mendapat permintaan dan pihaknya percaya, dengan penerbitan dua karya terbaharu berkenaan bakal memberi keterujaan b
Menurutnya, kedua-dua penulis semenangnya mempunyai pengikut tersendiri dan ia menjadi kekuatan untuk karya tersebut mendapat sambutan.
"Kekuatannya novel ini adalah novelis itu sendiri, mereka ada peminat tersendiri dan aktif sosial media. Saya yakin buku ni boleh pergi jauh, selain genre buku ni memang ada pengikut sendiri.
"Sebanyak 2,000 naskhah diterbitkan bagi cetakan pertama dan kita sasarkan semua terjual menjelang hujung tahun ini serta dapat diulang cetak sempena Pesta Buku Antarabangsa Selangor tahun depan,” katanya kepada Sinar Ahad sempena pelancaran novel Sindiket II dan Pemutus Nyawa di Karangkraf Mall sempena Karnival Rakyat Karangkraf 2024 di sini pada Sabtu.
Sementara itu, Arman Jazee berkata, genre thriller sememangnya menjanjikan impak penceritaan yang lebih mendalam, penuh emosi dan padat dengan kejutan seperti yang diketengahkan dalam Sindiket II.
"Perlu dapatkan Sindiket II ini sebab pembacaannya seperti roller coaster, penuh dengan plot twist dan watak-wataknya, kalau kita baca, kita tak sangka bahawa itulah kehidupan dalam dunia sebenar. Pembaca juga akan merasai bagaimana kepayahan seorang ayah nak menyelamatkan anaknya.
"Saya berharap pembaca di luar sana menyokong Buku Prima yang banyak menerbitkan cerita berkualiti, lebih dekat dengan keadaan sebenar dunia luar, dijamin bersih dengan tiada elemen negatif, serta memberi satu pengalaman yang teruja kepada pembaca,” katanya.
Bagi Arifful Baqi pula, Pemutus Nyawa menampilkan kelainan dengan mengangkat cerita berkaitan dunia masa depan yang telah musnah dan bagaimana manusia membina semula tamadun untuk hidup pada zaman tersebut.
Masih kekal dengan genre fantasi thriller, karya ketiganya itu menceritakan tentang seorang lelaki bergelar pemutus nyawa diberi kuasa untuk memberikan hukuman mati kepada sesiapa sahaja yang bersalah.
"Apa yang saya cuba sampaikan dalam novel ni adalah nilai kemanusiaan sebab kita nak tunjukkan bahawa manusia sentiasa ada sisi baik dalam hati masing-masing walaupun dunia yang mereka huni berada dalam keadaan kelam dan kejam.
"Saya harap pembaca dapat menerima novel ni dan mengambil manfaat, kerana ia bukan semata tentang aksi tetapi nilai murni kemanusiaan yang saya cuba sampaikan dalam novel,” katanya.