Yusoff Rawther belum terima writ saman: Peguam

Iklan
Kumar ketika ditemui pemberita di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

KUALA LUMPUR - Serahan writ saman terhadap bekas pembantu kajian Datuk Seri Anwar Ibrahim belum dapat dilaksanakan berikutan cuti umum sempena perayaan Tahun Baru Cina.

Peguam, Kumar Thangaraju berkata, saman yang difailkan oleh setiausaha politik Presiden PKR itu, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak terhadap Muhammad Yusoff Rawther pada Jumaat lalu terpaksa mengambil sedikit masa untuk diserahkan kerana hakim dan kakitangan mahkamah masih bercuti.

Iklan
Iklan

Farhash yang juga Pengerusi PKR Perak memfailkan writ saman itu melalui Tetuan Messrs Kumar Thangaraj & Co di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini, atas dakwaan Muhammad Yusoff, 26 mengeluarkan kenyataan fitnah dalam sidang media pada 4 Disember lalu.

Peguam itu memaklumkan, pengurusan kes pada hari ini diteruskan di hadapan Timbalan Pendaftar, Rumaizah Baharom bagi urusan teknikal dan pentadbiran kerana mahkamah mahu mengklasifikasikan saman itu berikutan ada beberapa perubahan dalam notis tunjuk sebab.

Iklan

"Tarikh pengurusan kes seterusnya akan ditetapkan selepas notis itu diterima.

ARTIKEL BERKAITAN: Keluar kenyataan fitnah: Farhash saman Yusoff

"Ketika ini saya tidak dapat memberikan lebih banyak maklumat tambahan,” katanya ketika ditemui pemberita di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Iklan

Kumar memberitahu, proses pengurusan kes berkenaan akan dibuat secara dalam talian.

Dalam writ saman yang dikemukakan itu, Farhash memohon perintah injuksi untuk menghalang Muhammad Yusoff mengeluarkan atau terus menyiarkan sebarang kenyataan.

Beliau turut memohon ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta kos berserta faedah tahunan.

Saman itu adalah rentetan sidang media Muhammad Yusoff yang mendakwa menjadi mangsa serangan seksual Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson pada 4 Disember lalu.

Pemuda itu turut mendakwa polis tidak bertindak terhadap laporannya yang mendakwa Farhash menyerangnya di pejabat Anwar di Petaling Jaya, Mei tahun lalu.

Rakaman sidang media tersebut disiarkan menerusi Facebook dengan tajuk ‘Solidariti Buat Muhammed Yusoff Rawter’.

Muhammad Yusoff dikatakan berkhidmat dengan Anwar sejak akhir 2018 hingga tahun lalu.