PONTIAN - Seorang wanita sanggup membawa lari tiga anak yang masih kecil ke Kluang untuk mengugut suaminya sendiri dibantu teman lelakinya bagi mendapatkan wang sebanyak RM2,000.
Sebelum itu tular di media sosial, hebahan meminta bantuan orang ramai mengesan seorang wanita dan tiga kanak-kanak terbabit yang didakwa tidak sampai ke kampung halaman di Kota Tinggi dengan menaiki bas.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, suami suspek berusia 41 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan telah membuat laporan polis pada jam 9.47 malam Jumaat.
Menurutnya, laporan polis itu dibuat susulan mesej yang diterima di aplikasi WhatsApp daripada nombor yang tidak dikenali meminta wang RM2,000 sekiranya mahu isteri dan anaknya pulang ke pangkuan keluarga.
"Sebelum itu pada 25 Julai, si suami menghantar isterinya berusia lingkungan 30-an bersama tiga anaknya ke perhentian bas di Kampung Jasa Sepakat, Pekan Nanas untuk pulang ke kampung di Kota Tinggi.
"Bagaimanapun isterinya gagal dihubungi selepas itu. Ibu mentua yang dihubungi pula, memberitahu isteri dan anak-anaknya tidak ada di Kota Tinggi.
"Keesokannya harinya, si suami yang berada di rumah telah menerima ugutan melalui WhatsApp daripada nombor yang tidak dikenali meminta sejumlah wang sekiranya mahu isteri dan anaknya pulang," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Menurut Mohammad Shofee, bertindak atas maklumat dua serbuan dilakukan di dua lokasi berasingan di Kluang pada malam Sabtu.
"Ketika ditahan, si isteri bersama dua anak perempuan dan seorang anak lelaki berusia tiga hingga 12 tahun berada dalam keadaan selamat di sebuah hotel di Kluang.
"Teman lelakinya berusia lingkungan 40-an yang bekerja sebagai peniaga ditahan di sebuah rumah di Kluang," katanya.
Tambahnya, ujian saringan air kencing kedua-dua suspek didapati negatif dan kini ditahan reman selama empat hari sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 358 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman tersebut," katanya.