SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) perlu melaksanakan tugas menegakkan perkara yang benar dan melarang perbuatan salah secara profesional.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, agensi Islam itu juga perlu memainkan peranan serampang dua mata supaya umat Islam dilihat konsisten dengan prinsip dan tunggak utama Islam sebagai suatu cara hidup.
"Agensi seperti JAIS antara sebab masyarakat bukan Islam mengakui pentadbiran berteraskan Islam lebih berintegriti, telus dan berwibawa.
"Agensi Islam perlu bertindak dalam semua sektor yang diceburi sebagai orang yang sentiasa bertindak mengikut lunas-lunas keislaman yang betul dan tepat," katanya.
Katanya ketika berucap merasmikan Majlis Perhimpunan agensi Agama Islam di negeri ini di Dewan Syarahan Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam yang turut dihadiri Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.
Amirudin juga mahu semua agensi berkaitan Islam di Selangor mengekalkan dan memberi nilai tambah kepada kepercayaan masyarakat terhadap konsep RAHMAH Islam.
"Ini dapat dilaksanakan melalui peranan masing-masing bagi melahirkan organisasi yang dicontohi individu dan organisasi lain," katanya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof hari ini mahu semua agensi lebih tersusun dengan memberi tumpuan penuh kepada advokasi mesej RAHMAH supaya ia difahami di semua peringkat masyarakat.
Pendekatan Rahmah merujuk kepada R, Ramah; A, Aman; H, Harmoni: M, Mesra: A, AlamI dan H, Hormat.
ARTIKEL BERKAITAN: Garap pendekatan RAHMAH dalam pentadbiran Islam: Mujahid