Warga Rusia, Indonesia cuba permainan tradisional Malaysia

Iklan
Anna mencuba termpah gergasi pada Karnival Rakyat Karangkraf pada Ahad.

SHAH ALAM - Seorang warga Rusia tidak melepaskan peluang mencuba permainan tradisional yang disediakan di Karnival Rakyat Karangkraf pada Ahad.

Anna Lutsenko, 26, yang baharu tiga bulan berada di Malaysia sempat mencuba permainan kaki hantu dan terompah gergasi yang terdapat di zon padang membabitkan sukaneka kampung dan permainan laman.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dia datang ke karnival ini untuk melihat lebih dekat permainan lama rakyat Malaysia yang ada antaranya dilihat menyamai permainan lama di Rusia.

"Di Rusia pun ada permainan seperti ini yang seingat saya pernah dicuba ketika masih belajar dulu.

Iklan

"Walaupun kaki sakit selepas main terompah gergasi tapi seronok kerana belajar benda baru dan karnival ini buka peluang untuk saya lebih kenali budaya Malaysia," katanya ditemui pada Ahad.

Yafik bersama isteri dan anak-anak berkunjung ke Karnival Rakyat Karangkraf pada Ahad.

Seorang pelajar Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Indonesia, Yafik Murshid, 33, berkata, dia mengetahui mengenai karnival itu melalui kenalan Indonesia yang berada di Malaysia dan mengambil peluang cuti hujung minggu untuk datang bersama keluarga.

Iklan

"Menerusi karnival ini, kami dapat lihat lebih dekat sama ada terdapat persamaan atau perbezaan permainan lama antara Malaysia dan Indonesia.

"Anak-anak juga dapat belajar budaya tempatan dan berkongsi pengalaman bersama rakan-rakan apabila pulang ke Indonesia nanti," menurut penuntut Universiti Malaya itu.

Anna mencuba permainan kaki hantu di Karnival Rakyat Karangkraf pada Ahad.