KUANTAN - Seorang pekerja syarikat swasta kerugian RM312,434 selepas menjadi mangsa penipuan melalui panggilan telefon oleh individu yang menyamar sebagai pihak syarikat kurier dan polis.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kejadian berlaku apabila wanita berusia 39 tahun itu dihubungi individu yang mengaku wakil pihak kurier pada 31 Mac tahun lalu.
Menurutnya, suspek memaklumkan pihaknya telah menerima bungkusan atas nama mangsa mengandungi dokumen peribadi seperti kad pengenalan dan lima kad mesin juruwang automatik (ATM).
"Talian mangsa terus disambungkan kepada individu menyamar pihak polis dan mendakwa mangsa terlibat dengan kes jenayah pengubahan wang haram.
"Wanita itu kemudian telah memasukkan wang sebanyak RM28,000 ke dalam akaun bank yang diberikan oleh suspek bagi tujuan memeriksa sumber wang mangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, suspek turut meminta mangsa membuat permohonan pinjaman peribadi atas alasan bayaran jaminan untuk meneruskan siasatan.
"Sumber kewangan mangsa adalah duit simpanan dan pinjaman peribadi dari empat bank," katanya yang tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong pada Sabtu.
Sehubungan itu, Yahaya menasihatkan orang ramai yang menerima panggilan yang meragukan untuk segera membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan berkenaan bagi mengelakkan dari menjadi mangsa penipuan.
Jelasnya, masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi.