ALOR SETAR - Seorang remaja lelaki ditemui lemas pada Ahad, selepas dilaporkan hilang ketika cuba menyelamatkan adik perempuannya di Pantai Chenang di sini petang Sabtu.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, berkata, mayat mangsa ditemui kira-kira jam 10 pagi oleh orang awam yang membantu operasi dan menyelamat (SAR) menggunakan bot nelayan.
Menurutnya, lokasi mayat mangsa ditemui adalah berhampiran dengan Kuala Chenang iaitu lebih kurang 150 meter dari lokasi dilaporkan lemas.
"Mayat mangsa kemudiannya dibawa naik ke jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Chenang pada jam 10.07 pagi.
"Identiti mayat telah disahkan oleh ayahnya, Azizi Admi manakala pengesahan kematian dibuat oleh petugas kesihatan di Unit Kecemasan Hospital Sultanah Maliha," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.
Menurutnya, ketika dijumpai mayat mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan lengkap berpakaian.
"Bedah siasat akan dijalankan pada jam 2 petang pada Ahad. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya
Shariman berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan pada jam 10.45 pagi.
Pada Sabtu, mangsa dikenali sebagai Muhammad Izzham Hakimie Azizi, 15, dipercayai pergi ke pantai berkenaan bersama tiga ahli keluarga iaitu abang ipar, kakak dan adik perempuannya serta lima rakan menyambut hari lahir adik perempuannya pada jam 2 petang.
Selepas menyambut hari lahir, mangsa bersama adik perempuannya dan dua rakan lelaki turun ke pantai untuk mandi.
Beberapa minit kemudian saksi kejadian yang juga kakak dan abang ipar mangsa memberitahu mereka melihat dua orang terapung dipercayai hampir lemas di tepi laut.
Pada masa sama, mangsa dilihat sedang berusaha menyelamatkan adik perempuannya, yang juga antara mangsa hampir lemas sebelum hilang.