Sumbangan syarikat arak: Amanah tegas pertahan prinsip syariah

Iklan
Tangkap layar kenyataan Mujahid di Facebook pada Ahad. Mujahid Yusof (kiri). Foto Sinar Harian-MOHD HALIM ABDUL WAHID

KOTA BHARU - Parti Amanah Negara (Amanah) yang terpalit secara tidak langsung dengan kontroversi dana arak di sekolah, tampil menyatakan parti itu tegas mempertahankan prinsip syariah dalam menjalankan fungsinya sebagai sebuah parti politik di negara ini.

Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, pihaknya juga kesal dengan niat jahat pihak tertentu yang didakwa sengaja mencetuskan polemik politik dan mengambil peristiwa melibatkan Ahli Parlimen Sepang, Datuk Aiman Athirah Sabu yang juga Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (Awan) untuk memburukkan imej parti.

Iklan
Iklan

"Amanah sangat tegas mempertahankan prinsip syariah dan panduannya dalam menjalankan fungsinya sebagai sebuah parti politik yang progresif dan inklusif serta mengambil faktor kearifan lokal Malaysia sebagai pertimbangan yang diperakui oleh kehendak kaedah syarak.

"Kami berasa kesal dengan niat jahat pihak tertentu yang mengambil peristiwa ini untuk memburukkan imej Amanah bagi tujuan politik yang sempit,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya, pada Ahad.

Iklan

Beliau berkata, kekhilafan yang berlaku disebabkan terdapat di atas replika cek tertera tulisan 'tiger' yang disalah anggap dengan pelbagai tafsiran.

"Saya juga dimaklumkan bahawa pihak Aiman Athirah sudah menjelaskan kekhilafan tersebut dalam kenyataannya.

Iklan

"Saya dengan ini menyeru mana-mana pihak agar perlu lebih sensitif dalam hal-hal sedemikian untuk rujukan masa hadapan,” kata beliau.

Dalam pada itu, beliau mendakwa, ada pihak cuba menangguk di air keruh atas kehadiran Aiman Athirah yang juga yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan ke sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) berkenaan.

"Kehadiran beliau untuk memenuhi undangan majlis kutipan dana anjuran SJKC tersebut tetapi ada pihak cuba menangguk di air keruh dengan memberikan konteks yang sangat berbeza, semata-mata untuk mencetuskan polemik dan cuba mempolitikkan keberadaan beliau di majlis tersebut.

"Hakikat sebenar disembunyikan secara sengaja dan mereka cuba mengeploitasikan sekeping gambar untuk membesar-besarkan isu yang sebenarnya tiada kaitan dengan perkara yang dicetuskan,” katanya.

Mujahid menjelaskan, konteks sebenar kehadiran Aiman Athirah adalah menyampaikan sumbangan beliau sebagai ahli Parlimen bagi tujuan kutipan dana guna untuk membina dewan sekolah SJKC tersebut.

"Gambar beliau di atas pentas yang dilihat membuat isyarat 'thumbs-up' ialah kerana majlis makan malam itu berjaya mengumpul dana RM 3.1 juta iaitu lebih daripada sasaran RM 3 juta yang dijangkakan. Tindakan itu tidak ada kena-mengena sebagai tanda isyarat menyokong menerima sumbangan daripada syarikat arak.

"Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menjelaskan menurut arahan pekeliling kementerian, sumbangan melibatkan syarikat arak, judi atau rokok untuk apa-apa sumbangan sekolah tidak diizinkan, namun dalam konteks keberadaan Aiman Athirah di majlis tersebut adalah majlis amal untuk kutipan dana yang dianjurkan oleh Lembaga Pengelola sekolah dan sumbangan diterima daripada berbagai pihak termasuk komuniti setempat serta ibu bapa dan pemimpin masyarakat.

"Majlis itu bukan anjuran mana-mana syarikat arak dan bukan juga sumbangan daripada mana-mana syarikat arak secara khusus,” katanya.

Menurut beliau, replika cek menandakan kutipan derma yang berjaya dikumpulkan iaitu bernilai RM 3.1 juta dan bukan menandakan majlis khas sumbangan dari syarikat arak untuk tujuan kutipan dana sekolah.