ASNB galak manfaat pelaburan, pengurusan kewangan efektif

Iklan
Pengunjung mencuba salah satu kiosk ASNB di tapak Karnival Rakyat Karangkraf 2024, pada Sabtu.

SHAH ALAM - Pembukaan reruai Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) sempena Karnival Rakyat Karangkraf 2024 mendekatkan lagi pengunjung dengan manfaat pelaburan sekali gus menggalakkan mereka menguruskan kewangan dengan lebih efektif.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Muzzaffar Othman berkata, menerusi usaha tersebut, pihaknya turut menyediakan kiosk dan Unit Bergerak ASNB (UBA) bagi tujuan memudahkan urusan pelanggan termasuk mendaftar myASNB dan Auto Labur.

Iklan
Iklan

"Langkah ini juga membolehkan pelanggan sama ada mahu membuka akaun, menambah pelaburan, buka akaun untuk anak-anak, semak akaun, nak buat hibah atau wakaf pun boleh.

"Jadi reruai kami ini seperti cawangan bergerak. Semua urusan boleh buat di sini sama seperti cawangan kami yang sedia ada, jadi itu keistimewaan kami.

Iklan

"Untuk karnival ini, seramai 12 staf kita bertugas daripada pagi sehingga malam selama tiga hari,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Dataran Karangkraf, Seksyen 15 pada Sabtu.

Muzzaffar

Iklan

Dalam pada itu, ujar Muzzaffar, ini merupakan kali pertama ASNB menyertai program bersama Kumpulan Karangkraf namun, tidak menyangka dapat sambutan menggalakkan dalam kalangan pengunjung.

Menurutnya, kehadiran orang ramai dan penglibatan banyak syarikat serta sekolah menerusi anjuran karnival tersebut juga menjadikan suasana Dataran Karangkraf lebih meriah daripada biasa.

"Sambutan daripada pelanggan-pelanggan kami pun amat baik. Kita telah menerima banyak orang yang membuka akaun di sini, saya gembira kerana ramai datang dan kita juga dapat berjumpa dengan pelanggan-pelanggan secara fizikal.

"Saya dengar maklum balas daripada pelanggan mengenai perkhidmatan di reruai ini, mereka kata senang kerana semua kemudahan ada.

"Kami harap lagi ramai orang datang dan bertanya kepada kami. Kami ada pakar-pakar pelaburan di sini yang bertauliah dan mereka boleh memberi pandangan macam mana cara menyimpan yang betul sama ada untuk kegunaan berkahwin, bersara dan sebagainya,” ujarnya.

Muzzaffar (kanan) melihat pengunjung menggunakan salah satu kiosk di reruai ASNB
.

Sementara itu, ulas Muzaffar, pihaknya turut menawarkan pelbagai aktiviti termasuk kuiz dan hadiah untuk pelbagai transaksi pelaburan.

"Jadi pada yang masih lagi belum ada kesempatan untuk membuka akaun ASNB, bolehlah mendaftar hari ini di reruai ASNB. Hanya menggunakan kad pengenalan dan kad debit anda sudah boleh mula menyimpan.

"Kami berharap sokongan dan kehadiran para pengunjung ke sini terus mendorong para pelabur untuk terus melabur bersama ASNB, dan memahami pentingnya perancangan kewangan yang teratur untuk masa depan yang lebih terjamin,” menurutnya.

Tambah beliau, pengunjung juga boleh dapatkan maklumat terkini mengenai ciri baharu myASNB iaitu Penasihat Pelaburan Robo (RIA).

Jelasnya, fungsi tersebut direka bertujuan menjadikan pelaburan mudah dan boleh diakses oleh semua golongan masyarakat.

"Ia supaya membantu orang yang tidak tahu cara untuk melabur tetapi mahu melabur. Jadi ia adalah satu algoritma yang memudahkan pengguna,” tambahnya.

Muzzaffar (empat dari kanan, tengah) bersama pekerja yang bertugas di reruai ASNB sepanjang berlangsungnya Karnival Rakyat Karangkraf 2024.

Selain itu, Muzzaffar berkata, pihaknya juga turut mempromosikan Kempen Jom Simpan ASB, yang mana menawarkan hadiah keseluruhan sehingga RM600,000 kepada pelabur.

"Kempen ini sedang berjalan di mana pengguna hanya perlu masukkan sekurang-kurangnya RM30 dan boleh memenangi unit amanah sebanyak RM10,000. Kita akan buat cabutan pada Oktober tahun ini (fasa 2) dan sesiapa yang hendak melabur, boleh melabur sekarang,”

"Sekiranya pengguna letak RM300 sekali, mereka berpeluang untuk memenangi unit amanah sebanyak RM100,000. Kempen ini berlangsung sehingga 31 Jan 2025. Terbuka kepada semua pelabur Bumiputera.” Jelasnya.