Mindef siasat dakwaan kehadiran CCG di perairan Beting Patinggi Ali

Iklan
Mohamed Khaled

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertahanan (Mindef) akan menyiasat dakwaan kehadiran kapal Pengawal Pantai China (CCG) di Laut China Selatan khususnya di kawasan sekitar Beting Patinggi Ali, Sarawak.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ini bagi memastikan sama ada kapal negara asing itu benar-benar berlabuh di kawasan berkenaan atau hanya sekadar melalui lokasi tersebut.

Iklan
Iklan

"Rondaan dilakukan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia... Perairan Selat Melaka dan Laut China Selatan ini adalah perairan bebas laluan.

"Jadi, dia dianggap sebagai menjejaskan kedaulatan kita kalau bot itu berhenti. Kalau bot lalu kita tidak boleh buat apa-apa, itu undang-undang laut antarabangsa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Gombak di sini hari ini.

Iklan

Beliau berkata, demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah portal berita mengenai kehadiran CCG yang menyukarkan nelayan dan pemancing di Miri, Sarawak untuk turun ke laut kerana khuatir diganggu CCG.

Kerajaan sebelum ini menegaskan Beting Patinggi Ali adalah milik Malaysia dan tidak pernah mengiktiraf sebarang tuntutan daripada mana-mana pihak lain memandangkan ia di dalam kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia.

Iklan

Beting Patinggi Ali terletak di kedudukan 84 batu nautika atau 155 kilometer dari pantai Miri dengan secara spesifiknya di Tanjung Baram, Sarawak. - Bernama