BUKIT MERTAJAM - Perkhidmatan feri ikonik Pulau Pinang bakal menjadi sejarah sekiranya tiada pihak yang berminat untuk mengubah suai kegunaan feri berkenaan.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, nasib kesemua enam buah feri ikonik itu tidak dapat dipastikan malah berkemungkinan akan dilupuskan berikutan strukturnya yang kian usang dan reput.
Menurutnya, sebelum ini Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) telah membuka tender Permintaan Untuk Cadangan (RFP) untuk mengubah suai kegunaan feri ikonik itu namun sekiranya tidak ada yang berminat ia mungkin akan hilang dan diubah ke tempat lain.
"Kalau tak ada orang minat ambil alih mungkin ia tak boleh simpan di sana untuk selama-lamanya.
"Saya dimaklumkan juga bahagian bawah feri pun sudah reput dan mungkin ia akan hanya menjadi kenangan suatu hari nanti," katanya ketika ditemui media di sini, pada Ahad.
Terdahulu, Kon Yeow menghadiri Karnival UDA 2024 yang diadakan di Tapak Parkir Gravitas, di Jalan Baru Perai di sini.
Jelasnya, sebelum ini banyak pihak tampil mengemukakan cadangan untuk mengubah suai fungsi feri ikonik berkenaan bagi memastikan ia kekal terus digunakan namun selepas SPPP meneliti kos ia agak sukar untuk direalisasikan.
"Untuk kegunaan pengangkutan awam bukan senang untuk kita kembalikan namun untuk kegunaan lain ia masih boleh dipertimbangkan.
"Lagipun terminal feri ini juga telah diubah suai dan hanya boleh digunakan dengan perkhidmatan feri baharu yang sedang beroperasi sahaja," katanya lagi.
Sebelum ini media melaporkan SPPP akan melupuskan semua feri ikonik, selain tidak meneruskan rancangan menjadikannya Feri Pulau Kapas sebagai restoran terapung atas faktor kos.
Pengerusinya, Yeoh Soon Hin berkata, ia susulan sebuah Feri Pulau Kapas yang ditambat di Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH), karam awal pagi tadi akibat kebocoran dan tidak lagi dapat dibuat pembaikan.
Katanya, SPPP telah memajak feri ikonik termasuk Feri Pulau Kapas kepada beberapa syarikat berkelayakan untuk dijadikan produk pelancongan negeri pada 2021.
Namun begitu, hasrat untuk menjadikan Feri Pulau Kapas ini sebagai sebuah restoran terapung tidak dapat direalisasikan memandangkan terdapat ketidakpatuhan pemajak terhadap perjanjian pajakan dan pajakan telah ditamatkan pada Februari 2023, katanya dalam kenyataan.