SUNGAI BULOH - Tiga buah kilang perabot musnah dalam kebakaran dekat Kampung Baru Sungai Buloh di sini pada Ahad.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian pada jam 12.20 tengah hari.
"Seramai 67 anggota bomba ditugaskan untuk menjalankan kerja pemadaman iaitu dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh dibantu BBP Damansara, BBP Shah Alam, BBP Petaling Jaya, BBP Klang Utara, BBP Bukit Jelutong dikejarkan ke lokasi kebakaran.
"Selain itu, pemadaman kebakaran turut melibatkan anggota dari BBP Selayang, BBP Taman Tun Dr Ismail serta BBP Seri Hartamas," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Katanya, kebakaran keseluruhan tiga kilang perabot yang terlibat bagaimanapun tidak melibatkan kecederaan atau kematian.
"Kebakaran melibatkan sebanyak 60 peratus purata kemusnahan yang dialami.
"Semakan mendapati tiada mangsa terlibat dalam kejadian dan punca kebakaran masih disiasat," katanya.