SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Peniaga gerai jualan di SinarPlus Makan Fest memberikan tawaran harga promosi kepada pengunjung sempena hari terakhir Karnival Rakyat Karangkraf di Dataran Karangkraf, Seksyen 15 pada Ahad.
Rata-rata peniaga menyifatkan sambutan pengunjung sempena hari terakhir Karnival Rakyat Karangkraf sebagai memberangsangkan dan lebih meriah berbanding hari lain.
Peniaga gerai minuman dan hidangan ringan, Eight Byte, Paije Akhir,40, berkata, pengunjung yang membuat pembelian kombo di gerainya berpeluang mendapat harga diskaun sebanyak RM2.
"Untuk hari ini sahaja kita buat promosi kalau beli minuman latte dengan biskut mini kita akan ada harga kombo iaitu RM20. Jadi dapat diskaun RM2.
"Paling laku keras sepanjang tiga hari ini ialah minuman ‘Strawberry Macha Latte’, memang sudah habis stok langsung.
"Alhamdulillah orang ramai datang, sambutan memuaskan dan memang tidak boleh hendak kejar permintaan pelanggan yang datang ke kedai ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
"Biskut kami satu RM8, kalau beli dua biskut kita akan beri harga promosi (iaitu) RM15.
"Di sini memang meriah, penganjur pun terbaik kerana mereka sediakan kipas, kawasan berbumbung untuk kami dan pengunjung yang datang pun memang ramai. Jadi memang kami amat berpuas hati,” ujarnya.
Sementara itu, peniaga gerai gula-gula kapas, Hazim Hilmi, 28, berkata, penganjuran Karnival Rakyat Karangraf sepanjang tiga hari ini membawa impak positif tersendiri di mana orang ramai pelbagai peringkat umur dapat berkumpul dan mengisi masa lapang bersama ahli keluarga mereka.
"Untuk promosi hari terakhir di Karnival Rakyat Karangkraf, kita ada tawaran beli dua gula-gula kapas akan dapat satu (gula-gula kapas) percuma.
"Pakej ini kita buka kepada semua termasuk ahli keluarga,” menurutnya.
Pada 9 Julai, lebih 30 gerai jualan makanan menanti pengunjung Karnival Rakyat Karangkraf yang akan berlangsung pada 26 hingga 28 Julai di Dataran Karangkraf, Seksyen 15, di sini.
Pengurus acara, Khairil Fithry Mustapha berkata, pemilihan vendor adalah mengikut tema program iaitu jualan juadah ‘viral’ yang mempunyai permintaan tinggi dan pelbagai makanan tempatan.