UDA sedia bantu laksana agenda pemilikan hartanah bumiputera

Iklan
Kon Yeow (empat dari kiri) ketika melancarkan Karnival UDA 2024 di Tapak Parkir Gravitas, Jalan Baru Perai pada Ahad.

BUKIT MERTAJAM - UDA Holdings Berhad (UDA) bersedia menawarkan peranannya dalam membantu kerajaan negeri melaksanakan agenda pemilikan hartanah bumiputera terutamanya di kawasan bandar.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata, sebagai institusi pembangunan hartanah dan pengurusan aset yang banyak terlibat sejak sekian lama di negeri ini sudah pasti UDA bersedia membantu merealisasikan hasrat itu seperti dicadangkan Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) baru-baru ini.

Iklan
Iklan
Mohd Annuar

Malah menurutnya, perkara itu juga telah dibawa kepada perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mendapat reaksi positif berhubung cadangan berkenaan.

"Kita mengikuti kenyataan Presiden Pemenang, Tan Sri Mohd Yussof Latiff yang berhasrat membangunkan penempatan orang-orang Melayu di negeri ini terutamanya di kawasan bandar.

Iklan

"Saya mengambil peluang dan terus memaklumkan kepada Perdana Menteri dan sekiranya UDA boleh berperanan, UDA bersedia menawarkan peranan selain akan terus menjalinkan kerjasama baik dengan kerajaan negeri bagi merealisasikan usaha ini," katanya pada sidang akhbar selepas perasmian Karnival UDA 2024 di sini, pada Ahad.

Hadir merasmikan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Iklan

Pada Sabtu, media melaporkan Pemenang telah merangka pelan lima tahun yang komprehensif untuk membolehkan keluarga Melayu dengan pelbagai latar belakang ekonomi dan kemahiran profesional untuk kembali ke tinggal di kawasan pulau di sini.

Mohd Yussof berkata, pelan penempatan semula ini akan tertumpu di kawasan Jalan Pattani, Jalan Perak dan Jalan Sungai Pinang, meliputi kawasan seluas kira-kira 40 hektar.

"Ia akan dikenali sebagai Enclave Melayu, yang akan dilengkapi dengan kawasan perumahan, kawasan komersial, serta masjid, untuk melambangkan identiti Melayu-Islam di George Town.

"Tanah wakaf telah diperuntukkan khusus untuk tujuan ini, yang diwariskan kepada komuniti Melayu Islam oleh Majlis Agama Islam Negeri," katanya.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri menyambut baik minat mana-mana pemaju yang berhasrat untuk membangunkan tanah khusus buat penempatan semula golongan Bumiputera di kawasan George Town.

Bagaimanapun beliau berkata, kerajaan negeri perlu mendapatkan maklumat terperinci mengenai cadangan dikemukakan Pemenang yang melontarkan idea itu sekali gus dapat membawa 10,000 penduduk di kalangan masyarakat Melayu untuk tinggal di bandar dan memiliki hartanah di George Town.

"Kerajaan negeri tiada halangan dan menyambut baik mana-mana usaha untuk memajukan tanah-tanah yang ada di seluruh negeri Pulau Pinang khususnya tanah-tanah bagi golongan bumiputera Melayu seperti mana yang UDA Holdings Berhad usahakan di Tanjung Tokong turut boleh dijadikan model di lain-lain presint di negeri ini.

"Mungkin ini cuma satu lontaran idea, namun pada peringkat ini saya rasa UDA boleh mulakan kajian sama ada kesesuaian tanah untuk dibangunkan dan apakah komponen pembangunan dan sebagainya.

"Kita perlu teliti menerusi semua sudut memandangkan di Pulau Pinang kita ada dasar penempatan penduduk sedia ada malah setiap pemaju sudah memahami garis panduan yang telah ditetapkan,” katanya.