SHAH ALAM - Ibu kepada tiga anak yang juga seorang seorang suri rumah diumum sebagai pemenang cabutan bertuah utama Karnival Rakyat Karangkraf berupa sebuah motosikal jenis skuter WMOTO yang menutup tirainya ada Ahad.
Pemenang bertuah itu, Nur Syazwani A wahab, 35, mengakui tidak tergambar perasaan gembira apabila namanya diumum sebagai pemenang.
Menurutnya, hadiah penuh makna tersebut juga disifatkan sebagai kejayaan menunai hajat salah seorang anaknya yang telah lama inginkan motosikal.
"Alhamdulillah, saya bersyukur dengan hadiah tidak dijangka ini. Melalui hadiah yang diperoleh hari ini juga saya dapat tunai hajat anak yang berusia enam tahun yang sangat inginkan motosikal.
"Sebelum ini, saya dan suami hanya miliki dua kereta dan tidak ada motosikal. Alhamdulillah, saya bersyukur sangat dengan hadiah ini," katanya menetap di Shah Alam ketika ditemui Sinar Harian.
Selain motosikal, hadiah lumayan lain juga tersedia bagi kategori ini berupa barangan elektrik jenama terkemuka seperti vakum, penyedut hampagas hama habuk, mesin membuat kopi, cerek, pemproses makanan dan pengisar, seterika wap, periuk nasi, pengisar jus serta penggoreng kering,
Mengimbau kembali penyertaan cabutan bertuah yang membawa kepada kejayaannya memiliki motosikal itu, Nur Syazwani berkata, beliau menyertainya selepas membeli pelbagai buku sekolah untuk ketiga-tiga anaknya yang dijual di reruai Grup Buku Karangkraf.
Katanya, program anjuran Kumpulan Karangkraf sememangnya tidak asing buatnya sekeluarga kerana hampir setiap aktiviti yang dijalankan syarikat ini disertai mereka.
"Apa sahaja aktiviti termasuk jualan gudang, Karnival Pendidikan Sinar Bestari, Program Iftar Ala Madinah @Karangkraf dan pelbagai lagi kami sertai," katanya.