Olimpik Paris: Aaron-Wooi Yik, Tang Jie-Ee Wei sahkan slot suku akhir

Iklan
Beregu lelaki negara Aaron Chia dan Soh Wooi Yik ketika beraksi menentang beregu lelaki Kanada Adam Dong dan Nyl Yakura dalam acara badminton pada Sukan Olimpik Paris 2024 di Arena Porte De La Chapelle hari ini. Foto Bernama

[DIKEMAS KINI] BEREGU lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mengesahkan tiket ke suku akhir Sukan Olimpik Paris 2024 selepas mencatatkan kemenangan kedua berturut-turut pada peringkat kumpulan masing-masing hari ini.

Bagaimanapun, kedua-dua pasangan itu akan menghadapi cabaran yang lebih sukar dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan untuk menentukan juara kumpulan dan lawan mereka yang berpotensi di pusingan kalah mati.

Iklan
Iklan

Beregu nombor empat dunia, Aaron-Wooi Yik, yang merupakan pemenang pingat gangsa edisi Tokyo 2020 menewaskan beregu Kanada, Adam Dong-Nyl Yakura, 21-10, 21-15 dalam perlawanan Kumpulan A yang berlangsung selama 40 minit.

Menanti juara dunia 2022 itu adalah pasangan nombor satu dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang, yang sebelum ini menewaskan gandingan Great Britain, Ben Lane-Sean Vendy 21-18, 13-21, 21-14.

Iklan

"Perlawanan seterusnya adalah sukar tetapi ia lebih kepada kekuatan mental. Kami hanya perlu mengawal mental dan memberikan tumpuan sepenuhnya pada perlawanan itu,” kata Wooi Yik kepada Bernama selepas aksi di Porte de La Chapelle Arena di sini.

Berdasarkan rekod, Aaron-Wooi Yik hanya menang dua kali dalam lapan pertemuan dengan wakil China itu dengan kali terakhir menang ada separuh akhir Piala Thomas April lalu ketika Malaysia tewas 1-3 kepada tuan rumah di Chengdu.

Iklan

Semalam, mereka bangkit dari kekalahan set pertama untuk menewaskan pasangan nombor 18 dunia, Lane-Vendy 19-21, 21-16, 21-11.

Sementara itu, pasangan Tang Jie-Ee Wei merekodkan kemenangan kedua dalam Kumpulan D dengan menewaskan gandingan Amerika Syarikat, Vinson Chiu-Jennie Gai 21-15, 24-22 seelepas memulakan kempen dengan mengatasi pasangan Singapura, Terry Hee-Jessica Tan 23-21, 21-12 semalam.

Dua kemenangan itu membolehkan Tang Jie-Ee Wei menjamin kedudukan dua teratas kumpulan tidak kira keputusan yang akan dicatatkan mereka dalam aksi terakhir menentang juara Asia dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping. - Bernama