Warga emas dikhuatiri lemas, hanya perahu dan topi ditemui

Iklan
Lokasi kejadian mangsa dikhuatiri lemas di muara sungai Kampung Air, Beluran.

BELURAN - Seorang lelaki warga emas dikhuatiri lemas ketika mengambil pucuk nipah di muara sungai Kampung Air dekat sini pada Ahad.

Damat Anggah, 80, disedari hilang oleh penduduk kampung pada jam 11 pagi selepas mendapati mangsa tidak dilihat berada di atas perahunya.

Iklan
Iklan

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, Edoen Macheal berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.51 petang.

Katanya, seramai enam anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 2.5 kilometer dari BBP Beluran.

Iklan

"Menurut maklumat, mangsa keluar dari rumah pada jam 9 pagi untuk mengambil pucuk nipah yang terletak sejauh 1.5 kilometer dari jeti kampung tersebut.

"Bagaimanapun, pada jam 11 pagi, penduduk kampung yang lalu di lokasi tersebut mendapati mangsa tiada di atas perahunya lalu melaporkan kepada ahli keluarga mangsa.

Iklan
Operasi SAR mangsa dilakukan di sekitar tepi muara sungai Kampung Air, Beluran.

"Anak mangsa bersama rakannya pergi ke lokasi untuk membuat pemantauan sebelum mendapati mangsa sudah hilang dan hanya topinya yang ditemui hanyut berdekatan dengan perahu tersebut," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Edoen berkata, susulan daripada itu, penduduk kampung melancarkan gerakan untuk mencari mangsa di sekitar kawasan tersebut.

"Pencarian dilakukan oleh enam penduduk kampung sebelum mereka membuat panggilan kecemasan di talian 999.

"Pasukan bomba yang tiba di lokasi juga segera melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan tepi sungai dengan kaedah pencarian di permukaan atas air menggunakan bot penduduk kampung," katanya.

Bagaimana, Edoen berkata, mangsa tidak ditemui dan SAR terpaksa ditangguhkan pada jam 6.45 petang.

"Operasi SAR mangsa akan disambung semula esok dan maklumat akan dikemas kini dari masa ke masa," katanya.