MEMANG sedih bila Merak Jalanan kenangkan tragedi bunuh yang kerap berlaku kebelakangan ini.
Selepas kejadian menimpa Zayn Rayyan sehingga kepada kes terkini melibatkan Nur Farah Kartini, rakyat Malaysia terutama golongan ibu bapa semakin tidak senang duduk memikirkan keselamatan anak kecil dan anak perempuan mereka.
Tambah menyayat hati apabila golongan tidak berdaya seperti wanita, kanak-kanak dan warga emas menjadi sasaran utama haiwan bertopengkan manusia itu.
Malah selepas berita berkenaan enam pembunuh Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman dijatuhi hukuman gantung, ramai berasakan Allahyarham mungkin selamat dan masih hidup jika mampu melawan serta mempertahankan dirinya.
Tidak kira apa juga jenis seni bela diri sama ada tempatan seperti silat, atau taekwondo juga karate, asalkan asasnya praktikal dan mudah dikuasai, ia sudah cukup bagus.
Ia jauh lebih baik daripada hanya menjerit meminta pertolongan atau kelam kabut mengeluarkan pepper spray apabila diserang!
Sebarang mekanisme mungkin sudah boleh mula diperkenalkan, contohnya dengan pihak pengurusan pertahanan diri mengadakan kelas percubaan percuma atau promosi dengan pakej separuh harga.
Sekurang-kurangnya dengan asas pertahanan diri, golongan kanak-kanak dan wanita tahu dan bersedia dengan apa yang perlu dilakukan jika diserang atau diprovokasi oleh individu berniat jahat.
Kenalah sediakan payung sebelum hujan. Kalau dah hujan baru nak buka payung, lencun jadinya nanti!