Sekolah tidak wajar ada kaitan minuman keras

Iklan
Laporan Sinar Harian.

POLEMIK tentang pembabitan syarikat minuman keras dalam program kutipan dana sekolah Cina terus heboh diperkatakan meskipun mesyuarat Kabinet pada Rabu lalu bersetuju untuk mengekalkan garis panduan sedia ada termasuk aktiviti sumbangan dana kepada sekolah yang tidak boleh memapar dan mempromosi minuman keras di dalam premis sekolah.

Pada masa sama, kata Kementerian Pendidikan, pertimbangan diberikan kepada sekolah vernakular menerima sumbangan dana tersebut melalui yayasan dan lembaga pengelola sekolah, selain aktiviti berkaitan jenama minuman keras tidak boleh melibatkan pelajar Islam.

Iklan
Iklan

Sungguhpun begitu, isu ini semakin hangat apabila ramai pemimpin politik terus melontarkan pandangan. Sebahagian besar daripada mereka bersetuju ia budaya yang tidak harus diteruskan, namun ada juga yang bertindak mempertahankannya konon atas prinsip 'ia telah berlaku sejak puluhan tahun dahulu lagi'.

Secara logiknya, jika kita teliti dari konteks fungsi dan peranan sekolah sebagai institusi pendidikan yang mulia, mengaitkannya dengan sebarang perkara yang tidak elok dan melalaikan adalah tidak wajar sama sekali.

Iklan

Jika tajaan daripada syarikat minuman keras dibenarkan dalam sekolah walaupun untuk kutipan dana Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekali pun, tidakkah ia akan mengelirukan golongan pelajar yang telah didedahkan tentang keburukannya?

Apakah kita mahu minuman keras dinormalisasikan di sekolah semata-mata kerana mereka memberi sumbangan? Jika begitu, mungkin tidak ada salahnya juga pihak sekolah membenarkan syarikat rokok memberi tajaan dana kerana tiada beza keburukan antara kedua-dua hal melalaikan ini.

Iklan

Kita harus bersetuju bahawa minuman keras tidak sepatutnya 'masuk' sekolah atau mana-mana institusi pendidikan. Mengapa perlu dapatkan tajaan minuman keras sedangkan lebih banyak syarikat korporat berteraskan pendidikan dan ilmu di luar sana sedia memberi sumbangan?

Ini bukan isu perkauman atau keagamaan sebaliknya memang telah diketahui umum bahawa minum arak bukan amalan murni untuk diamalkan oleh semua kaum di negara ini, apatah lagi didedahkan kepada pelajar sekolah.