JAKARTA - Indonesia sedang bersiap sedia untuk memindahkan ibu negaranya ke wilayah Kalimantan Timur yang dikenali Ibu Kota Nusantara (IKN) atau juga nama ringkasnya Nusantara dan akan menggantikan peranan Jakarta sebagai pusat pentadbiran pemerintah bermula tahun 2024.
Nusantara berasal daripada kata 'Nusa' yang bermakna pulau dan 'Antara' yang bermakna kawasan terluar.
Mengikut perancangan, mulai Julai hingga November 2024, semua kakitangan dari kementerian dan institusi negara akan mula berpindah secara beransur-ansur dari Jakarta, termasuk menteri penyelaras dan menteri lain.
Kemudian, pada 17 Ogos 2024, Presiden Joko Widodo atau Jokowi secara rasmi akan menjadi Presiden pertama Indonesia yang menduduki ibu kota baharu yang akan ditandai dengan sambutan Hari Kemerdekaan Indonesia ke-79.
BAGAIMANA BENTUK IKN
IKN dibina di atas hutan luas yang terletak di antara dua kawasan di Kalimantan Timur iaitu Kutai Kartanegara dan Penajam Paser Utara.
Ibu kota baharu Indonesia itu mencapai luas lebih 256,000 hektar atau sekitar empat kali ganda saiz kota Jakarta atau tiga kali ganda saiz Singapura.
Malah, IKN baharu ini telah dirancang dari semula untuk menjadi sebuah bandar berpusat yang terletak di bawah institusi peringkat kementerian disebut 'Otorita Ibu Kota Nusantara'.
Dalam kesempatan mempromosikan IKN di Singapura pada awal 2023, Ketua Otorita IKN, Bambang Susantono yang kini telah meletakkan jawatan berkata, Nusantara akan menjadi ibu kota negara pertama di dunia yang melaksanakan konsep bandar hutan.
Menurut beliau, hanya 25 peratus kawasan Nusantara akan dibangunkan, manakala 75 peratus lagi adalah kawasan hijau yang akan dikekalkan sebagai hutan tropika.
Keadaan ini akan berbeza berbanding Jakarta yang semakin tercemar dan padat dengan penduduk. Bambang juga berkata, Nusantara adalah penyertaan aktif Indonesia dalam menyokong inisiatif global untuk mengatasi perubahan iklim.
Nusantara dirancang sebagai bandar yang menggunakan 80 peratus pengangkutan awam yang disokong sistem jalan raya bersepadu, termasuk perkhidmatan kereta api yang akan menghubungkan kota tersebut dengan bandar-bandar sekitar dan lapangan terbang antarabangsa.
FASA IKN
Pembangunan Nusantara berlangsung dalam beberapa fasa, bermula dengan pembinaan infrastruktur utama seperti Istana Presiden, Bangunan Parlimen serta infrastruktur dasar untuk fasa awal yang menelan belanja AS$30 bilion (RM139.6 bilion). Proses awal ini akan bermula dari 2022 hingga 2024.
Selanjutnya dari 2024 hingga 2035, pembangunan IKN akan memasuki fasa kedua.
Pada peringkat ini proses pemindahan berbagai lembaga negara termasuk kakitangannya akan selesai. IKN juga akan dibangunkan sebagai sebuah pusat inovasi dan ekonomi.
Kemudian 2035 hingga 2045 merupakan tahap pembinaan keseluruhan infrastruktur dan ekosistem tiga bandar bagi mempercepatkan pembangunan Kalimantan Timur.
Dalam fasa seterusnya kelihatan beberapa ini infrastruktur yang lengkap termasuk ketersambungan antara bandar dan pulau.
Pada masa ini, IKN berkemungkinan termasuk dalam 10 bandar terbaik untuk didiami di dunia dan mencapai 'net zero carbon emission' kerana menggunakan 100 peratus tenaga terbaharu. Nusantara dijangka akan menjadi bandar pertama di dunia dengan populasi lebih sejuta orang yang akan mencapai sasaran ini.
Hanya pada tahun 2045 ibu negara Nusantara boleh dikatakan selesai sepenuhnya. Menurut laman web rasmi IKN, pada tahun 2045 ia dijangka menjadi salah satu bandar terkemuka di dunia dari segi daya saing.
Apa pun, IKN kini memasuki fasa pertama. Jokowi akan menjadi presiden pertama yang menduduki ibu kota baharu itu sebelum menyerahkannya kepada Presiden terpilih Prabowo Subianto pada bulan Oktober 2024. - Agensi