IPOH - Sebanyak 10 unit kediaman musnah dalam kebakaran di Lorong Sungai Tapah Kampung Manjoi di sini pada Ahad.
Panggilan kejadian itu diterima Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya pada jam 4.49 petang dan tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pemeriksaan dilakukan mendapati, 10 unit kediaman itu untuk disewakan dengan enam daripadanya berpenghuni.
"Kebakaran dianggarkan 90 peratus kemusnahan dan kejadian ini tidak melibatkan mangsa.
"Anggota yang menjalankan operasi diarahkan memakai sut peralatan perlindungan diri (PPE) lengkap ketika membuat pemadaman," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal selepas hampir dua jam iaitu pada jam 7.02 malam dengan bantuan Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Putih.
"Operasi yang turut melibatkan 18 anggota Pasukan Bomba Sukarela dari Chemor, Menglembu dan Pekan Baru itu tamat pada jam 8.40 malam," katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan sumbangan RM5,000 kepada setiap keluarga yang terlibat dalam kebakaran tersebut.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun memaklumkan, sumbangan disampaikan oleh Setiausaha Politiknya, Muhammad Kamil Abdul Munim.
"Saya difahamkan hasil laporan awal pihak bomba mendapati kebakaran berpunca daripada litar pintas.
"Mendoakan urusan mereka dipermudah dan diberi ketabahan tatkala menghadapi ujian ini," katanya menerusi hantaran di Facebook.