KUALA LUMPUR - Aksi malam minggu penunggang motosikal dengan melakukan lagak samseng jalanan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, dekat sini, dipatahkan polis, pada Ahad.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, operasi itu dijalankan sepasukan Unit Risikan Operasi JSPT Bukit Aman.
Katanya, tangkapan pertama kira-kira jam 12.30 tengah malam membabitkan dua penunggang motosikal berusia 18 tahun, manakala seorang lagi berusia 17 tahun ditahan setengah jam kemudian di lokasi berasingan.
"Ketiga-tiga mereka ini dikesan melakukan aksi superman dan bersaing sesama sendiri.
"Aksi itu jelas membahayakan kepada diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain," katanya pada Isnin.
Beliau berkata, motosikal jenis Yamaha Y15ZR dan Honda EX5 telah disita.
Tambah Mohd Yusri, ketiga-tiga lelaki itu telah dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Selain itu, kata beliau, sembilan saman turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.