KONTIJEN India melonjak kegembiraan pada Ahad apabila Manu Bhaker memenangi pingat gangsa dalam acara 10m air pistol wanita di Olimpik Paris, lapor Xinhua.
Berasal dari negeri Haryana di utara India, Bhaker menjadi penembak wanita pertama negara yang memenangi pingat Olimpik. Penembak Korea Selatan Oh Ye-jin mencatat rekod Olimpik baharu dalam acara itu untuk memenangi emas manakala rakan sepasukannya Kim Ye-ji meraih perak.
Perdana Menteri Narendra Modi adalah antara yang terawal mengucapkan tahniah kepada Bhaker atas kejayaan itu.
Beliau memuat naik di X,"Pingat bersejarah! Syabas, @realmanubhaker, kerana memenangi pingat pertama India di #ParisOlympics2024! Tahniah atas pingat gangsa. Kejayaan ini lebih istimewa kerana dia menjadi wanita pertama yang memenangi pingat dalam acara menembak untuk India. Pencapaian yang luar biasa!"
Presiden Droupadi Murmu juga mengucapkan tahniah kepada penembak terkenal itu, dengan berkata"India bangga dengan Manu Bhaker. Pencapaiannya akan memberi inspirasi kepada ramai ahli sukan, terutamanya wanita. Saya berharap dia mencapai kejayaan yang lebih tinggi pada masa hadapan."
Keluarga penembak wanita itu di Haryana turut meraikan detik kemenangannya dengan mengedarkan manisan kepada jiran dan rakan-rakan. - Bernama