SHAH ALAM - Keputusan Tourism Malaysia untuk tidak mengambil bahagian dalam World Travel Market (WTM) yang diadakan di London, United Kingdom (UK) pada hujung tahun ini disebabkan ingin mengurangkan perbelanjaan.
Menurut Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), agensi itu telah menyertai WTM lebih 40 tahun berturut-turut dan kos untuk menyertai pameran pelancongan ini semakin meningkat saban tahun.
"Penyertaan Tourism Malaysia di WTM adalah salah satu aktiviti promosi yang dijalankan saban tahun dan ini adalah merupakan platform yang disediakan oleh agensi ini kepada penggiat-penggiat industri bagi pasaran jarak jauh.
"Pada tahun 2024, Tourism Malaysia akan mengambil pendekatan yang lebih kos efektif dengan mengadakan misi jualan bersepadu ke beberapa negara di Eropah seperti UK, Perancis dan Belanda bagi mempromosikan Kempen Melawat Malaysia 2026.
"Dengan mengambil kira kadar tukaran wang asing semasa, penyertaan di WTM London akan melibatkan perbelanjaan yang besar dengan penurunan kadar tukaran wang semasa," katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Negara.
Kementerian itu menjawab soalan dibangkitkan Ahli Dewan Negara, Datuk Hisamudin Yahaya mengenai faktor Malaysia tidak mengambil bahagian dalam WTM yang diadakan di London pada hujung tahun ini memandangkan ia platform baik untuk mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Mengulas lanjut mengenai alternatif terbaharu untuk mengurangkan perbelanjaan itu, MOTAC berkata, misi jualan ini akan disertai oleh pengusaha pelancongan dari Malaysia dan sesi 'business matching' serta jaringan bersama agensi pelancongan utama di negara-negara tersebut akan dijalankan di samping aktiviti promosi makanan dan kebudayaan Malaysia kepada orang awam.
Fokus pasaran juga katanya, akan digiatkan kepada negara-negara yang mempunyai lebih rangkaian kemudahsampaian berbanding pasaran jarak jauh tetapi tidak bermaksud aktiviti di pasaran tersebut dihentikan sama sekali.