'Arwah sepatutnya kahwin serentak bersama dua beradik Disember ini'

Iklan
Allahyarham Nurshabirah dan Muhammad Haniff Idham

KUALA TERENGGANU - Pasangan kekasih yang maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan dekat Jalan Kemajuan di sini, malam Sabtu lalu sepatutnya melangsungkan perkahwinan serentak bersama dua adik-beradiknya hujung tahun ini.

Zulkurnain Abdullah, 57, berkata, anaknya, Allahyarham Nurshabirah Izzani Zulkarnain, 22, merancang untuk mengikat tali pertunangan serta melangsungkan perkahwinan bersama Muhammad Haniff Idham Mohd Azmi, 24 pada Disember depan.

Iklan
Iklan

Menurut Zulkurnain, disebabkan mahu menjimatkan masa dan perbelanjaan, dia sendiri mencadangkan supaya anak keempatnya itu mengadakan majlis serentak bersama dua adik beradik yang lain.

"Arwah Nurshabirah Izzani merupakan anak keempat saya dan dia telah berkawan bersama arwah Muhammad Haniff Idham sejak di bangku sekolah.

Iklan
Allahyarham Nurshabirah dan Muhammad Haniff Idham

"Saya rancang supaya dia melangsungkan perkahwinan bersama anak kedua dan anak ketiga saya iaitu abang dan kakaknya akhir tahun ini," ujarnya ketika ditemui pemberita di pekarangan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, baru-baru ini.

Zulkurnain berkata, Nurshabirah Izzani bersama dua lagi anaknya iaitu Zul Adri Amin, 26 dan Nur Hadirah sudah membeli dan membuat sedikit persiapan untuk majlis tersebut.

Iklan

Mengimbau kembali tragedi itu, Zulkurnain berkata, ketika kejadian anaknya yang bekerja sebagai jurujual di sebuah pusat membeli-belah dalam perjalanan bersama Muhammad Haniff Idham untuk makan malam selepas selesai bekerja.

Katanya, mereka sekeluarga tidak menyangka kedua-dua bakal pengantin itu terkorban dalam nahas tersebut.

Sebelum ini, pasangan kekasih itu terlibat dalam kemalangan selepas Perodua Myvi dinaiki dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Fortuner kira-kira jam 10.30 malam.

Muhammad Haniff Idham dan Nurshabirah Izzani meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan HSNZ.

Jenazah kedua-duanya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Belukar Sukai dan Tanah Perkuburan Kampung Pasir Panjang pada petang Ahad.