PUTRAJAYA - Prosiding pendengaran rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette A Samad daripada tiga pertuduhan rasuah membabitkan RM2.8 juta berkaitan pelaburan Felcra Bhd, di Mahkamah Rayuan di sini pada Isnin, ditangguhkan ke 9 Oktober depan.
Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang bersidang bersama Datuk Hashim Hamzah dan Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh itu selepas pihak pembelaan memohon penangguhan prosiding terbabit.
Semasa prosiding, peguam, Datuk Seri K Kumaraendran yang mewakili Zizie Izette, 47, meminta supaya kes itu disambung ke tarikh lain kerana seorang lagi peguam, M Athimulan tidak dapat hadir kerana mengalami masalah jantung.
Menurutnya, Athimulan yang mewakili Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah berusia 67 tahun itu tidak sihat ketika berada di negara India, pada 10 Julai lalu.
"Susulan berkenaan, beliau mendapatkan rawatan penyakit jantung di Hospital Tamil Nadu dan pulang tanah air pada minggu lepas.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How berkata, pendakwaan tidak membantah cadangan pihak pembelaan selaku responden.
Bagaimanapun katanya, pendakwaan sebagai perayu, bersedia jika mahkamah mahu meneruskan pendengaran kes.
"Hari ini ditetapkan untuk pendengaran dan kami telah memfailkan semua hujahan,” katanya yang turut disertai Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadly Mohd Zamry.
Selepas mendengar permohonan daripada semua pihak, Ahmad Zaidi memaklumkan, mahkamah telah dimaklumkan mengenai keadaan kesihatan Athimulan.
"Cuma tarikh yang disarankan November itu, terlalu lama dan saya harap prosiding dibuat lebih awal.
"Mahkamah tetapkan 9 Oktober depan untuk prosiding ini,” katanya.
Pada 3 Mei 2019, Ahli Parlimen Kinabatangan itu didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra didakwa menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid, 45, melalui Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati, antara jam 12.30 tengah hari dan 5 petang, 12 Jun 2015.
Ahli politik itu juga didakwa menerima suapan RM337,500 daripada perunding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar, 47, di bawah nama Zizie Izette atas sebab sama dan di tempat serupa pada 19 Jun 2015.
Pendakwaan terhadap Bung Moktar dikemukakan mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM dan boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Zizie Izette pula mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu.
Pada 2 September 2022, Mahkamah Sesyen memerintahkan pasangan suami isteri ini membela diri atas tuduhan berkenaan.
Pada 7 Julai 2023, Mahkamah Rayuan memerintahkan Mahkamah Tinggi mendengar permohonan Bung Moktar ini dan Zizie Izette, untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang mengarahkan pasangan itu membela diri.
Pada 7 September tahun sama, Mahkamah Tinggi di sini kemudiannya membenarkan permohonan semakan pasangan ini berhubung keputusan berkenaan.
Susulan keputusan itu, Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid melepas dan membebaskan pasangan suami isteri itu daripada tuduhan berkenaan.
Susulan itu, pendakwaan memfailkan rayuan pada 18 September berhubung keputusan pembebasan mereka dan Mahkamah Rayuan menetapkan 29 Julai depan bagi mendengar rayuan tersebut.