[VIDEO] Mangsa kebakaran Kampung Manjoi tinggal sehelai sepinggang

Iklan

IPOH - Jeritan orang ramai dan ketukan pintu bertalu-talu menyelamatkan penghuni deretan rumah di Jalan Tok Sidang dan Lorong Sungai Tapah, Kampung Manjoi di sini pada Ahad daripada kebakaran.

Mior Shapie bersama isterinya melihat keadaan rumah mereka yang musnah dalam kebakaran di Kampung Manjoi pada Ahad.

Dalam kejadian sekitar jam 4.45 petang itu, sebanyak 10 unit kediaman dengan enam daripadanya berpenghuni musnah, namun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

Iklan
Iklan

Suri rumah, Aliza Nasir, 54, berkata, menyedari jeritan kuat orang ramai ketika itu menyebabkan dia berlari keluar menyelamatkan diri.

Aliza

"Waktu kejadian saya hendak ambil wuduk sebelum terdengar orang ketuk pintu sambil menjerit minta keluar kerana api sudah marak.

Iklan

"Saya tidak sempat ambil apa-apa barangan termasuk dokumen penting terus berlari keluar. Dalam masa beberapa saat, apabila toleh belakang, api sudah mula menyambar bumbung rumah," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Isnin.

Penduduk, Mior Shapie Hamid, 60, berkata, keluarganya mengharapkan sumbangan orang ramai berupa pakaian apabila mereka kini hanya tinggal sehelai sepinggang.

Iklan
Mior Shapie

"Ketika kejadian tiada sesiapa pun di rumah, jadi tiada satu pun barangan yang sempat diselamatkan. Inilah satu-satunya pakaian yang saya ada.

"Saya berterima kasih juga kepada orang ramai yang bantu menyelamatkan kereta dan motosikal dengan menolak ke tempat selamat," katanya.

Menurut Mior Shapie, dia tinggal di rumah tersebut sejak 13 tahun lalu dengan menyewa sebanyak RM240 sebulan.

Deretan 10 rumah di Jalan Tok Sidang dan Lorong Sungai Tapah musnah terbakar dalam kejadian pada Ahad.

"Malam tadi pun menumpang di rumah saudara sebelah isteri di Silibin.

"Buntu juga memikirkan tempat tinggal kerana saya hanya bekerja kampung, sukar untuk mendapatkan rumah sewa murah ketika ini," katanya.

Mior Shapie cuba mencari barangan berharga dalam timbunan sisa kebakaran di rumahnya di Kampung Manjoi.

Sinar Harian melaporkan kesemua 10 unit kediaman itu dianggarkan 90 peratus musnah dan tidak boleh diduduki.

Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan sumbangan RM5,000 kepada setiap keluarga yang terlibat yang disampaikan oleh Setiausaha Politiknya, Muhammad Kamil Abdul Munim.

Difahamkan laporan awal pihak bomba mendapati kebakaran berpunca daripada litar pintas.