Siti Nur Khaireena ditemui selamat di rumah rakan

Iklan
Siti Nur Khaireena yang hilang pada 25 Julai lalu ditemui selamat di rumah rakan pada pagi Ahad.

GEORGE TOWN - Seorang remaja perempuan yang dilaporkan hilang ditemui selamat di rumah rakan lelakinya di Jalan Kilang Lama, Kulim, Kedah pada pagi Ahad.

Menurut abang tirinya, Mohammad Nurul Asrul Norulfadli, 23, Siti Nur Khaireena Zufairi ditemui pada jam 9 pagi di rumah tersebut.

Iklan
Iklan

"Adik saya selamat ditemui pagi semalam di rumah rakan lelakinya. Keadaannya selamat dan tiada kecederaan pada badannya. Ketika ditemui, dia dalam keadaan biasa.

"Setahu saya, sekarang dia ada bersama keluarga saya di Bagan Ajam. Saya tidak tinggal bersama dengan keluarga, setakat itu sahaja saya tahu," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Iklan

"Rakan adik saya ada 'share location' mengatakan dia berada di situ. Kami sekeluarga kemudiannya terus ke lokasi berkenaan dan berjaya menemuinya. Syukur dia selamat.

"Kami diberitahu, sebelum ditemui, adik saya telah ke Kelantan dengan rakan namun pulang ke Kulim bersama rakannya yang lain. Sebab itu, sebelum ini, ada yang mengatakan adik saya berada di Kelantan," katanya.

Iklan

Sebelum ini, media melaporkan Siti Nur Khaireena disedari hilang dari rumahnya di Bagan Ajam selepas ahli keluarganya menerima pesanan suara daripada seorang lelaki menerusi aplikasi WhatsApp.

Sebelum itu, Siti Nur Khaireena yang masih bersekolah dikatakan keluar dari rumah dengan kenalan lelaki yang tidak dikenali keluarga jam 5 petang, 25 Julai lalu.

Melalui WhatsApp itu juga, lelaki tersebut memaklumkan Siti Nur Khaireena ada bersamanya di Kota Bharu, Kelantan.

Sejak daripada itu, keluarganya giat mencarinya selain membuat hebahan di media sosial berhubung kehilangan remaja terbabit.