KAJANG - Sekumpulan mat rempit menolak motosikal mereka selepas ditahan menerusi Op Samseng Jalanan di Jalan Kajang Utama 2, di sini pada Ahad.
Menerusi satu rakaman video yang tular, ia memaparkan pergerakan penunggang motosikal yang melakukan pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu diiring oleh kenderaan polis.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, menerusi operasi dijalankan, sebanyak 40 buah motosikal dan sebuah kenderaan pacuan empat roda telah diperiksa jam 6 petang.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan itu, sejumlah 75 keping saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
"Mereka yang diperiksa pada operasi khas ini berusia lingkungan 15 hingga 25 tahun dan kebanyakan kesalahan yang dikesan adalah tiada lesen memandu.
Kata beliau, selain tiada lesen memandu, mereka yang ditahan melakukan kesalahan lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh dan ubah suai motosikal.
Tegas beliau, orang ramai terutama ibu bapa diingatkan untuk memantau tingkah laku anak-anak agar tidak terpengaruh dengan gejala tidak sihat.
Selain itu menurutnya, pengguna jalan raya diminta mematuhi undang-undang lalu lintas dan tidak terlibat dalam sebarang aktiviti lumba haram atau menjadi samseng jalanan.