KUALA LUMPUR - Laporan polis tentang kejadian orang hilang harus dibuat segera supaya tindakan pantas dapat dilaksanakan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, masyarakat perlu membuat laporan sekiranya ada ahli keluarga, saudara mara atau rakan mereka hilang serta mendapati ada unsur mencurigakan dalam kejadian kehilangan itu.
"Tiada prosedur operasi standard (SOP) yang menyatakan laporan polis harus dibuat selepas tempoh 24 jam kejadian orang hilang berlaku.
"Kita (di setiap balai) di Kuala Lumpur kena terima setiap laporan yang dibuat sebab setiap tempoh masa sesuatu kes orang hilang itu adalah amat penting untuk polis bertindak.
"Mengambil pengajaran dan iktibar dari kes kehilangan dan bunuh Nur Farah Kartini Abdullah, baru-baru ini, bila laporan dibuat, mayatnya ditemui lima hari kemudian dan ia menyukarkan tugas pihak forensik," katanya dalam sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Dang Wangi di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini, pada Isnin.
Rusdi berkata, selain itu laporan segera dapat membantu polis membuat usaha pengesanan individu yang dilaporkan hilang itu.
"Sekarang kena cepat kerana sekiranya ada kehilangan mungkin dalam tempoh yang tidak lama akan sampai ke sempadan, jadi kita kena cepat," katanya.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menegaskan bahawa semua pegawai dan anggotanya harus menerima laporan orang hilang yang dibuat, tidak semestinya untuk menunggu sehingga 24 jam.
Tindakan lewat mengambil laporan boleh menyebabkan setiap nyawa individu yang dilaporkan hilang terancam.