Kemelut Pas, Gerakan beri kesan PRK Nenggiri - Penganalisis

Iklan
Gambar kecil: Zuraimy

SHAH ALAM - Kemelut Pas dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) berhubung isu kontroversi pengumpulan dana sekolah Cina daripada syarikat arak wajar dibendung dengan segera kerana ia mampu memberi kesan terhadap Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri.

Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Perlis, Dr Zuraimy Ali berkata, ketegasan Pas mempertahankan pekeliling yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KPM) tidak boleh dipandang remeh.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ini kerana semua institusi di bawah KPM perlu mematuhi garis panduan yang telah dikeluarkan.

"Sewajarnya kenyataan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari adalah tepat memandangkan perjuangan parti itu bertujuan mengangkat syiar Islam dan menyelamatkan ummah daripada sebarang bentuk elemen yang boleh menjurus kepada dosa serta mengundang fitnah.

Iklan

"Bagi merungkai pertikaian sudah tentu Pengerusi Perikatan Nasional (PN) perlu memastikan setiap perkara yang terkait sensitiviti umat Islam diperjelaskan dan difahami. Sebarang penglibatan syarikat jenama arak serta judi sebenarnya sesuatu yang mampu menggores hati umat Islam," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sebelum itu, Pas memberi bayangan bahawa parti itu mungkin tidak akan bersama dengan Gerakan di bawah gabungan politik serupa pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Iklan

Ahmad Fadhli berkata, ia susulan pendirian rasmi Gerakan berhubung isu derma daripada hasil arak kepada sekolah sangat mengecewakan Pas.

Mengulas lanjut, Zuraimy berkata, sudah sampai masanya parti gabungan di dalam PN perlu memuktamadkan segera dan mencari jalan penyelesaian yang tuntas demi memastikan tidak ada mana-mana pihak tergores.

"Jika pergolakan yang berlaku gagal diatasi maka sudah tentu peluang UMNO untuk merampas kembali Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri semakin mudah.

"Justeru, segala isu-isu kontroversi wajar dipadamkan dengan cara yang lebih baik memandangkan PRK Nenggiri akan berlangsung tidak lama lagi.

"Beberapa isu yang gagal ditangani akan mengurangkan tahap keyakinan pengundi terutamanya apabila dilihat pergolakan berlaku di dalam parti PN memberi mesej jelas terhadap pengurangan undi dan peratusan keluar mengundi,'' ujarnya.

Beliau berpendapat, segala isu yang terkait dengan dasar dan perjuangan perlu selari.

"Jika berlaku sebaliknya maka PRU16 pasti memberi kesan terhadap hubungan di dalam gabungan parti PN.

"Dalam masa sama, sudah jelas dimaklumkan semua pihak bahawa peraturan yang telah dikeluarkan oleh KPM adalah tepat bagi menjamin semua kaum cakna dan menghormati antara satu sama lain," katanya.