'13 tahun lalat 'menyerang', kami sudah tak tahan' - Penduduk

Iklan
Saiful Azmi menunjukkan lalat yang terperangkap pada pelekat lalat di rumahnya di Kampung Parit 9 Gambut di sini pada Isnin.

SABAK BERNAM - Kira-kira 200 penduduk di Kampung Parit 9 Gambut di sini hidup dalam keadaan tertekan akibat gangguan lalat sejak 13 tahun lalu.

Penduduk mendakwa, serangan lalat itu berpunca daripada lebih 10 ladang dan reban ternakan ayam diusahakan di kampung itu yang masih menggunakan kaedah tradisional.

Iklan
Iklan

Mereka turut mendakwa, keadaan bertambah teruk setiap kali ayam dibawa keluar dari ladang hingga menyebabkan bilangan lalat bertambah berkali ganda sehingga kelihatan penuh di atas lantai.

Seorang penduduk, Fazlina Zainal, 39, berkata, masalah lalat berlaku sejak sekian lama, namun keadaannya bertambah teruk sejak akhir-akhir ini.

Iklan

"Selalunya lalat menghurung rumah penduduk ketika musim ayam dikeluarkan dari reban dan kami naik rimas dengan situasi ini," katanya ketika ditemui pada Isnin.

Menurut Fazlina, serangan lalat mengganggu kehidupan seharian penduduk selain terpaksa mengeluarkan perbelanjaan untuk membeli kertas pelekat lalat berharga RM2.80 yang hanya mampu bertahan selama sehari sahaja.

Iklan
Fazlina dan suaminya, Mohd Shahrin Masnin, 41, menunjukkan pelekat lalat di rumahnya di Kampung Parit 9 Gambut pada Isnin.

Katanya, penduduk buntu memikirkan masalah itu dan berharap ia dapat ditangani segera oleh pihak berkuasa.

Siti Rodziah Tapsir, 70, berkata, penduduk juga bimbang jumlah lalat yang terlalu banyak menyebabkan kesihatan penduduk terjejas sekiranya keadaan itu terus berlarutan.

Menurut Rodziah, gangguan lalat itu seharusnya diambil tindakan serius dan tidak dibiarkan terus berlarutan dalam tempoh lama.

"Saya sendiri rasa tidak tenang berada di rumah terutama setiap kali memasak dan menjamah makanan.

"Kalau tengok lalat memang geli, tetapi apa boleh buat, inilah yang terpaksa kami hadapi di kampung ini," jelas Rodziah.

Saiful Azmi Suhood, 42, pula berkata, ladang ternakan ayam itu sepatutnya dibuka di kawasan lebih jauh dari penempatan penduduk.

Katanya, terdapat lebih 10 ladang dan reban ternakan ayam diusahakan di kampung itu yang masih menggunakan kaedah tradisional.

"Ladang atau reban ayam ketika ini makin bertambah dan keadaan ini memberi kesan kepada penduduk untuk menjalankan urusan seharian," jelasnya.

Siti Rohayu Kamarudin, 41, pula berkata, serangan lalat di kediamannya menyebabkan dia terpaksa menghentikan sementara tempahan kuih-muih.

Menurutnya, keadaan itu secara tidak langsung menjejaskan pendapatannya ketika ini terutama dalam kos sara hidup semakin tinggi.

"Saya berharap pihak bertanggungjawab dan agensi berkaitan dapat mengambil tindakan segera untuk mengatasi masalah ini agar kehidupan penduduk kampung lebih tenteram tanpa gangguan lalat.

"Kami memohon pihak berwajib dapat melakukan sesuatu agar wujud situasi menang-menang antara penduduk dan pemilik ladang," ujarnya.

Sementara itu, Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) akan memberi maklum balas berhubung isu itu dalam waktu terdekat.